Ismail Abdul Ghani

KUANTAN – Sebanyak 42 keluarga mangsa banjir kilat yang melanda Janda Baik, Bentong malam tadi dipindahkan ke sebuah dewan orang ramai di daerah itu.

Penolong Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mangsa terdiri daripada 30 keluarga dari Kampung Chemperoh manakala bali 12 keluarga lagi adalah dari Kampung Sum Sum.

Katanya, banjir kilat itu menyebabkan kejadian tanah runtuh di laluan masuk masuk ke Janda Baik dan antara Kampung Sum Sum ke Kampung Chemperoh yang menyebabkan  sebahagian laluan itu ditutup bagi tujuan pembersihan.

“Perkembangan semasa dilihat kini trend air menurun dan cuaca kelihatan mendung sehingga jam 9.30 pagi tadi,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette sambil menambah seramai 30 anggota bomba dikerahkan dalam operasi berkenaan.

Menurut Ismail, pihaknya menerima panggilan MERS (Malaysian Emergency Response Services 999) pada jam 5.27 pagi dan tiba di lokasi pada jam 6.23 pagi kerana jarak ke lokasi sejauh 39 kilometer.

Tambah beliau, pasukan bomba mengalami kesukaran ke lokasi berikutan pokok tumbang selain jentera bomba tersekat di dalam lumpur.

Katanya, operasi penyelamat dimulakan di Kampung Sum Sum diikuti Kampung Chemperoh dan ada dalam kalangan penduduk berpindah sendiri. – MalaysiaGazette