The High Court sentenced Sam Ke Ting, 27 to six years in prison and RM6,000 fine after finding her guilty of reckless driving thus causing the death of eight teenage joyriders five years ago
Sam Ke Ting.

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini menetapkan 28 Jun depan bagi pengurusan kes rayuan kerani, Sam Ke Ting terhadap sabitan dan hukuman penjara kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian lapan remaja menaiki basikal lajak pada 2017.

Menurut peguam mewakili Ke Ting, Harvinderjit Singh, ia merupakan satu lagi kes pengurusan selepas pihaknya memberitahu mahkamah beberapa nota serta hujahan awal pada 2019 perlu dimasukkan dalam rayuan tersebut.

Untuk makluman, Hakim Mahkamah Tinggi, Dr. Shahnaz Sulaiman memerintahkan Ke Ting menjawab pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan pada 2019.

Kata Harvinderjit yang mengesahkan tarikh baharu itu, Mahkamah Rayuan juga akan menentukan isu prima facie dalam kes ini dan ketika ini pihaknya sedang mendapatkan dokumen dari berkaitan dari Mahkamah Tinggi Johor Bharu.

Harvinderjit Singh

Bekas Ketua Hakim Mahkamah Persekutuan juga dijangka akan mengetuai pasukan pembelaan rayuan Ke Ting.

Pada 18 April lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Ke Ting untuk merayu terhadap sabitan dan hukuman penjara enam tahun dan denda RM6,000 yang dijatuhkan ke atasnya oleh Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan juga membenarkan permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara dan denda yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 13 April dan dia dibebaskan dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin sementara menunggu pendengaran rayuannya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Abu Bakar Katar menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas Ke Ting selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Majistret pada 10 Oktober tahun lalu yang melepas dan membebaskan wanita itu.

Beliau juga memerintahkan wanita itu dikenakan penjara tambahan enam bulan sekiranya gagal membayar denda dan larangan memandu selama tiga tahun selepas tamat menjalani hukuman.

Ke Ting yang berusia 22 tahun ketika kejadian didakwa melakukan kesalahan itu pada pukul 3.20 pagi di Jalan Lingkaran Dalam, Johor Bahru, Johor pada 18 Februari 2017.

Lapan remaja yang maut dalam tragedi itu ialah Mohamad Azrie Danish Zulkefli, 14; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimie, 14; Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhar, 16; Fauzan Halmijan, 13; Mohamad Azhar Amir, 16; Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14; Muhammad Shahrul Nizam Marudin, 14 dan Haizad Kasrin, 16. -MalaysiaGazette