Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melancarkan Selangor Mega Job Fair 2022 di Dewan Canselor UniSEL.

SHAH ALAM – Selangor merekodkan 3.2 peratus (118,100 orang) kadar pengangguran pada suku pertama 2022, meningkat berbanding 2.9 peratus (105,300) pada suku tahun keempat tahun lalu.

Bagaimanapun, kadar pengangguran itu masih di bawah 4.0 peratus.

Datuk Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan angka tersebut masih lagi dalam kadar selesa namun akan cuba dikurangkan lagi kepada 3.0 peratus atau 2.9 peratus sama seperti tahun sebelumnya.

“Peningkatan kadar pengangguran ini sebenarnya normal ekoran ramai pelajar universiti yang tamat belajar dan ini menunjukkan kadar yang stabil” katanya dalam satu sidang media selepas Majlis Pelancaran Selangor Mega Job Fair di Dewan Canselor UniSEL hari ini.

Lebih 20,000 peluang pekerjaan daripada lebih 100 syarikat akan ditawarkan pada Selangor Mega Job Fair yang akan diadakan di MBSA Convention Centre, Shah Alam, pada 11 hingga 12 Jun depan.

Amirudin berkata, program itu diadakan bagi mengurangkan kadar pengangguran di Selangor.

Selangor Mega Job Fair akan menawarkan peluang pekerjaan meliputi pelbagai sektor seperti perkhidmatan, pembuatan, elektronik, pengurusan, dan sebagainya, di tahap sijil, diploma, dan juga di tahap ijazah sarjana muda.

Para pencari kerja serta warga Selangor boleh mendaftar di www.selangorjobportal.com.my untuk menyertai program tersebut, kata Menteri Besar itu. – MalaysiaGazett