Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar. Foto HAZROL ZAINAL.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki remaja yang dilaporkan hilang di Cheras, di sini, ketika keluar solat di masjid berdekatan rumahnya ditemui di Pokok Sena, Kedah semalam.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, siasatan polis mendapati remaja yang berusia 16 tahun itu keluar rumah untuk pergi berjumpa sepupunya yang tinggal bersama datuk beliau di Pokok Sena tanpa pengetahuan ahli keluarga.

“Sudah tentulah ibu dan ayah dia risau akan kehilangan anaknya secara tiba-tiba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan polis sedang mengesan seorang remaja lelaki yang dilaporkan tidak pulang ke rumahnya di Cheras pada Ahad lalu.

Mangsa gagal dikesan selepas dipercayai meninggalkan kediamannya untuk menunaikan solat subuh di masjid yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya di Bandar Tasik Selatan.

Menurut Muhammad Idzam, remaja yang ditemui itu berada dalam keadaan sihat.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai terutama ibu bapa agar sentiasa mengambil maklum mengenai pergerakan dan juga aktiviti anak mereka bagi mengelak kejadian seumpama itu berulang. – MalaysiaGazette