Gelagat kanak-kanak yang menerima suntikan vaksin Covid-19 sempena Program Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak 'PICKids' ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ 03 FABRUARI 2022.

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) memutuskan untuk melanjutkan tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama Covid-19 yang sepatutnya berakhir 15 Mei ini kepada 31 Mei 2022.

Lanjutan ini mengambil kira sambutan Hari Raya Aidilfitri dan cuti kelepasan am yang jatuh pada tarikh akhir pemberian vaksin serta penutupan Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali berkata, keputusan ini dibuat untuk memberi peluang kepada ibu bapa yang masih ingin mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak mereka.

Walau bagaimanapun, keputusan menetapkan tarikh akhir pendaftaran dan tempahan janji temu vaksinasi melalui aplikasi MySejahtera iaitu pada 8 Mei 2022, dikekalkan dan tempahan janji temu tidak akan lagi diterima selepas tarikh tersebut.

Bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 dan memilih tarikh vaksinasi sebelum atau pada 31 Mei 2022, boleh meneruskan janji temu yang dipilih.

Manakala bagi ibu bapa yang mendaftar dan membuat janji temu sebelum atau pada 8 Mei 2022 tetapi memilih tarikh vaksinasi selepas 31 Mei 2022, janji temu dalam aplikasi MySejahtera akan terbatal secara automatik.

Sementara ibu bapa yang mendaftar selepas 8 Mei 2022, pautan tempahan janji
temu dalam aplikasi MySejahtera tidak akan diberikan.

Bagaimanapun  ibu bapa dalam kategori (b) dan (c) masih boleh membawa anak untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 secara walk-in di Klinik Kesihatan KKM sehingga 31 Mei 2022.

Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah
12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin Covid-19 secara percuma di bawah
PICKids.

Pengecualian diberikan kepada kanak-kanak berusia 5 tahun hingga bawah
12 tahun yang terpaksa membatalkan janji temu sebelum atau pada 31 Mei
2022 kerana mereka dijangkiti Covid-19.

Noor Azlan berkata, mengambil kira komplikasi MIS-C yang mungkin berlaku, ibu bapa disarankan membawa anak mendapatkan vaksinasi secara walk-in ke Klinik Kesihatan dalam tempoh enam minggu selepas sembuh dari jangkitan, ataupun selewat-lewatnya pada 30 Ogos 2022.

”Selepas 31 Mei 2022, kanak-kanak yang telah berusia 5 tahun hingga bawah 12 tahun tidak lagi ditawarkan vaksin Covid-19 secara percuma di bawah PICKids.

”Mereka perlu mendapatkan vaksin COVID-19 yang ditawarkan secara berbayar di pasaran swasta,” jelas Noor Azlan.

Ujar beliau, makluman ini tidak terpakai bagi kanak-kanak yang baru mencapai usia lima tahun pada atau selepas 15 Mei 2022.

Sebaliknya, ibu bapa kepada kanak-kanak dalam kategori ini boleh membuat pendaftaran dan tempahan janji temu vaksin Covid-19 dos pertama melalui aplikasi MySejahtera sehingga 15 Januari 2023.

Tarikh akhir pemberian vaksin dos pertama bagi kategori ini adalah pada 31 Januari 2023.

”Saya berharap dengan kenyataan ini, ibu bapa yang berhasrat memberi vaksin kepada anak mereka tetapi belum berkesempatan untuk berbuat demikian, rebutlah peluang terakhir ini sebelum terlambat,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast