Tertuduh, Muhammad Qayyum Mazlan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes samun membabitkan seorang penyampai berita televisyen di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 MEI 2022

PETALING JAYA – Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Jenayah 1 di sini hari ini atas pertuduhan merompak dan menyeret penyampai berita TV swasta sehingga mengalami kecederaan fizikal di Damansara Perdana, 5 Mei lalu.

Tertuduh, Muhammad Qayyum Mazlan 31, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan itu dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 5 Mei 2022 kira-kira jam 3.40 petang di tepi jalan berhampiran Exclusive Perdana, Damansara Perdana di sini didapati melakukan rompak terhadap seorang penyampai berita, Khairul Rizuan Azizan.

Antara hasil rompakan itu ialah beg berwarna hitam berjenama bernilai RM500 dan wang tunai RM100 yang merupakan harta dalam kawalan penyampai berita tersebut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya, Nur Hashimah Hashim tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh kerana kes tersebut merupakan kesalahan tidak boleh dijamin di bawah Seksyen 388 Kanun Prosedur Jenayah.

Menurut Nur Hashimah, jaminan tidak ditawarkan kerana ia pertuduhan serius menyebabkan kerugian harta benda, dikhuatiri tertuduh akan mengganggu saksi dan mangsa serta kes itu menjadi tular dan mendapat perhatian umum.

Tertuduh, Muhammad Qayyum Mazlan dihadapkan ke mahkamah bagi menghadapi pertuduhan kes samun membabitkan seorang penyampai berita televisyen di Mahkamah Majistret Petaling Jaya. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 13 MEI 2022

Bagaimanapun, Peguam Kailash Sharma memohon mahkamah menggunakan budi bicara untuk menawarkan jaminan kerana tertuduh sudah beristeri dan perlu menanggung seorang anak berusia 8 tahun yang masih bersekolah di sebuah sekolah rendah.

Bagi tujuan jaminan, peguam tidak keberatan jika mahkamah mengenakan syarat tambahan ke atas anak guamnya termasuk tidak mengganggu saksi dan mangsa serta melaporkan diri di balai polis terdekat, setiap bulan.

Artikel berkaitan: Polis buru suspek samun penyampai berita

Dua individu disyaki samun penyampai berita ditahan polis

Suspek lelaki samun penyampai berita televisyen didakwa esok

Malah ayah kepada tertuduh yang kini tinggal serumah boleh menjadi penjamin dan memastikan kehadiran bapa anak tunggal itu hadir ke mahkamah selepas ini.

“Penjamin tertuduh adalah ayah yang berusia 57 tahun yang kini berniaga pakaian secara kecil-kecilan di pasar malam,” katanya.

Selepas mendengar hujahan pihak pendakwaan dan pembelaan, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis berdekat setiap bulan.

Hakim Jamaludin juga memerintahkan tertuduh dikenakan syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi pendakwaan dan mangsa.

Mahkamah turut menetapkan 22 Jun 2022 sebagai tarikh sebutan kes tersebut. – MalaysiaGazette