Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid.

KUALA LUMPUR – Seorang suspek lelaki yang ditahan oleh polis bersama adik perempuannya kerana disyaki terlibat dalam jenayah samun membabitkan seorang penyampai beritadi Damansara Perdana minggu lalu dihadapkan di Mahkamah Majistret Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, hanya suspek lelaki sahaja akan didakwa akan kesalahan samun.

“Kedua-dua suspek lelaki dan wanita berusia 31 dan 24 tahun itu sebelum ini direman untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes ini.

“Setelah kertas siasatan lengkap dirujuk kepada Timbalan Pendakwaraya untuk arahan lanjut, polis mendapat kelulusan untuk mendakwa suspek lelaki tersebut manakala adik perempuannya akan dijadikan sebagai saksi pendakwaan dalam kes tersebut di mahkamah nanti pada pagi esok (Jumaat),” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Menurut Mohamad Fakhrudin, suspek akan dibawa ke mahkamah pukul 8.30 pagi esok untuk menghadapi pertuduhan kes di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun sehingga mendatangkan kecederaan.

“Kita akan membawa suspek ke mahkamah sekitar pukul 8.10 hingga 8.30 pagi untuk didakwa,” tegasnya lagi.

Sebelum ini polis mengesahkan kedua-dua suspek telah diberkas di perumahan Puncak Alam, Shah Alam.

“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas kedua-dua suspek berjaya membawa kepada rampasan beberapa barang-barang kes yang dipercayai hasil kejadian samun termasuk sebuah motokar yang digunakan oleh suspek dalam kes ini.

“Semakan rekod jenayah lampau mendapati suspek lelaki mempunyai empat rekod penyalahgunaan dadah, (15) rekod jenayah dan dua rekod masih disenarai hitam bagi kes penyalahgunaan dadah masih dikehendaki (wanted person) bagi kes penyalahgunaan dadah,” katanya.

Mereka kemudian telah direman mulai 7 Mei lalu selama tujuh hari untuk membantu polis melengkapkan kertas siasatan kes tersebut.

Terdahulu polis telah menerima aduan daripada mangsa berusia 34 tahun yang disamun selepas memarkir kenderaannya di bahu jalan di Damansara Perdana semasa kejadian.

Tindakan pengadu cuba mengejar dan menangkap suspek ketika cuba melarikan diri dengan kereta Myvi hitam telah tular di laman media sosial melalui satu rakaman video berdurasi 30 saat yang telah dirakam dan dimuatnaik oleh pengguna laman sosial Tik Tok yang kebetulan berada di tempat kejadian.

Semasa mangsa kembali semula ke keretanya didapati suspek sedang menendang dan memecahkan cermin pintu sisi penumpang hadapan kenderaannya sebelum melarikan beg laptop peribadi dan beberapa dokumen penting.

Mangsa yang cuba mengejar suspek yang melarikan diri dengan sebuah kereta Myvi telah diseret sehingga mengalami kecederaan pada tangan.- MalaysiaGazette