bendera korea utara
Gambar Hiasan

SEOUL – Korea Utara melaporkan sebanyak 21 lagi kematian akibat ‘demam’, dua hari selepas negara itu mengumumkan kes pertama Covid-19 dan mengarahkan penutupan seluruh negara.

Agensi berita kerajaannya, KCNA melaporkan sebanyak 174,440 kes demam baharu dikesan pada hari Jumaat sahaja dan 21 orang telah meninggal dunia, ketika Pyongyang beralih kepada “sistem kuarantin kecemasan maksimum” dalam usaha untuk memperlahankan penyebaran penyakit kepada populasi yang tidak divaksin.

”Pada 13 Mei, 174,440 kes demam baharu dilaporkan di seluruh negara, 81,430 sembuh dan 21 meninggal dunia,” lapor KCNA.

Namun, ia tidak menyatakan sama ada mangsa yang meninggal dunia itu disahkan positif Covid-19, tetapi pakar mengatakan negara itu kekurangan kapasiti ujian besar-besaran.

“Jumlah orang sakit di seluruh negara ialah 524,440, yang mana 234,630 telah pulih sepenuhnya, 288,810 sedang menerima rawatan, dan jumlah kematian setakat ini ialah 27,” tambahnya.

Korea Utara mengadakan mesyuarat Politbiro kedua minggu ini, dihadiri oleh pemimpin Kim Jong-un, yang berkata wabak itu menyebabkan “kekacauan besar” di negara itu, lapor KCNA.

Pada hari Khamis, negara itu mengesahkan individu yang demam di Pyongyang telah diuji positif untuk varian Omicron, termasuk seorang telah meninggal dunia.

Ia adalah pengesahan rasmi pertama kes Covid di Korea Utara, selepas dua tahun wabak koronavirus merebak.

Media kerajaan berkata, kematian itu “disebabkan kecuaian, termasuk dos berlebihan kerana kurangnya pengetahuan mengenai kaedah rawatan saintifik”. – Reuters