Kuliah secara bersemuka di Akademi Pengajian Melayu, UM

KUALA LUMPUR – Kampus Universiti Malaya “hidup” dengan kembalinya hampir keseluruhan pelajarnya bagi menghadiri kuliah secara fizikal bermula 10 Mei lalu.

Universiti Malaya meneruskan pelaksanaan kuliah secara fizikal sepenuhnya bermula Semester 2, Sesi Akademik 2021/2022. Seramai 11,600 pelajar yang menginap di Kolej Kediaman telah kembali ke kampus bagi menghadiri kuliah secara fizikal sepenuhnya.

Pelajar tahun kedua, Fakulti Kejuruteraan, Amir Taquiddin Ahmad Iqbal berkata, dia teruja dapat kembali ke kampus untuk menghadiri kuliah fizikal.

”Saya dapat mengambil peluang untuk berjumpa dengan para pensyarah dan rakan-rakan serta merasai suasana kuliah secara fizikal yang juga lebih kondusif. Saya sangat berharap kami semua dapat menikmati suasana kehidupan di kampus dan juga terus patuhi penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka,” katanya.

Pelajar tahun ketiga, Fakulti Sains, Choong Yiling dan Thamilselvi Sivakumar, Pelajar Tahun Kedua, Fakulti Undang-Undang juga berkata, mereka lebih fokus dalam pembelajaran melalui kuliah secara fizikal dan dapat berinteraksi dengan pensyarah dan rakan-rakan.

Pelajar UM menghadiri kuliah secara fizikal sejak 10 Mei lalu.

Sementara itu, Dr. Awang Azman Awang Pawi, Profesor Madya, Jabatan Sosio Budaya Melayu, Akademi Pengajian Melayu berkata, tiada banyak perbezaan dari segi persediaan pensyarah dalam menghadapi kuliah secara fizikal dan secara atas talian, walau bagaimanapun, interaksi dari segi komunikasi, bahasa badan dan hubungan mata semasa kelas fizikal adalah berbezayang mana lebih dekat dan mesra.

”Akses kepada pelajar yang kurang berkemampuan juga lebih mudah dengan tersedianya bilik kuliah dan juga bahan-bahan pengajaran yang disediakan.

”Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana para pensyarah akan memastikan keselamatan dan kesihatan pelajar semasa kuliah dijalankan dan dalam masa yang sama mereka boleh menikmati kehidupan sebagai pelajar di kampus,” kata Awang lagi. – MalaysiaGazette