Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kontrak niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives dijangka diniagakan dengan kecenderungan meningkat minggu depan berikutan jangkaan eksport yang lebih kukuh.

Peniaga minyak sawit David Ng berkata, ketidaktentuan yang menyelubungi larangan eksport minyak makan Indonesia akan terus menyokong permintaan terhadap minyak sawit Malaysia.

Katanya kurangnya kejelasan mengenai bila larangan eksport minyak makan Indonesia akan ditarik balik telah mendorong permintaan yang semakin meningkat terhadap minyak sawit Malaysia, terutamanya daripada pembeli utama India dan China.

“Rizab India semakin berkurangan dan sebagai pengimport minyak sayuran nombor satu dunia, Malaysia dilihat sebagai pembekal yang lebih dipercayai.

“Pembelian China juga boleh pulih selepas sekatan pergerakan negara untuk mengekang penularan COVID-19 dilonggarkan.

“Oleh itu, kami menjangka komoditi itu akan diniagakan pada aliran meningkat antara RM6,200 dan RM6,700 minggu depan,” katanya kepada Bernama.

Pemilik dan Pengasas Bersama Palm Oil Analytics yang berpangkalan di Singapura Sathia Varqa berkata aktiviti belian saham pada harga rendah dan prospek eksport yang kukuh akan menyokong pasaran tetapi kenaikan dilihat lemah dengan faktor penurunan dalam pasaran.

“Dengan dagangan empat hari minggu depan di Malaysia, pasaran akan menyaksikan satu lagi minggu yang tidak menentu dengan tumpuan kepada perubahan larangan eksport Indonesia,” katanya.

Pasaran akan ditutup pada Isnin sempena sambutan Hari Wesak.

Bagi minggu baru berakhir, niaga hadapan MSM Malaysia diniagakan bercampur-campur, sebahagian besarnya mengambil petunjuk daripada pergerakan niaga hadapan minyak sayuran saingan dan laporan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengenai pengeluaran dan inventori serta data eksport.

Bagi asas Jumaat kepada Jumaat, Mei 2022 merosot RM108 kepada RM6,950 satu tan, Jun 2022 berkurangan RM103 kepada RM6,682 satu tan dan Julai 2022 susut RM31 kepada RM6,369 satu tan.

Sementara itu, Ogos 2022 merosot RM15 kepada RM6,139 satu tan, September 2022 berkurangan RM13 kepada RM6,020 satu tan dan Oktober 2022 susut RM4 kepada RM5,970 satu tan.

Jumlah dagangan mingguan naik kepada 263,529 lot daripada 121,996 lot minggu lepas manakala kepentingan terbuka merosot kepada 203,624 kontrak daripada 209,809 kontrak sebelum ini.

Harga MSM fizikal bagi Mei Selatan susut RM270 kepada RM6,900 satu tan. – MalaysiaGazette