Atlet, Boon Wei Ying bergambar sambil menunjukkan pingat selepas memenangi pingat emas pada Sukan Deaflympic Brazil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 MEI 2022.

SEPANG – Pemain beregu wanita pekak negara Boon Wei Ying tidak menyangka akan mengharumkan nama negara pada Sukan Deaflympic ke-24 di Caxias do Sul, Brazil.

Wei Ying, 27, berkata, dia pada mula hanya menyasarkan satu pingat sahaja pada kejohanan itu namun berjaya meraih pingat emas dalam acara beregu badminton wanita.

Wanita kelahiran Melaka itu berharap kehadiran atlet pekak seperti dirinya dan rakan-rakan yang lain akan lebih disedari selepas ini terutamanya dalam kalangan syarikat-syarikat korporat.

“Kejayaan ini telah menyuntik semangat untuk melakarkan kejayaan lebih besar pada Kejohanan Dunia dan Kejohanan Asia Pasifik pada tahun ini.

“Apa pun, tiga pingat terutama emas yang saya menangani ini ditujukan kepada semua rakyat negara, keluarga dan kepada mereka yang sentiasa menyokong atlet pekak,” katanya.

Atlet, Boon Wei Ying (empat dari kanan) dan Edmon Teo Seng Keong (empat dari kiri) bergambar bersama atlet negara yang terlibat ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas memenangi pingat pada Sukan Deaflympic Brazil. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 MEI 2022.

Dia berkata demikian ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Khamis lalu, Wei Ying-Foo Zu Tung menamatkan kemarau 21 tahun Malaysia apabila meraih pingat emas dalam aksi 48 minit penuh debaran dengan menundukkan beregu nombor satu dunia dari Taiwan Fan Jung-yu-Shen Yan-ru 21-17, 17-21, 21-15.

Kali terakhir Malaysia merangkul emas dalam temasya dwitahunan itu menerusi atlet lelaki olahraga pekak Zana Azizul Ujang dalam acara 110 meter lari berpagar di Sukan Deaflympic Rom, Itali pada 2001.

Wei Ying turut menghadiahkan pingat perak menerusi gandingan bersama Edmund Teo Seng Keong bagi acara beregu campuran dengan menundukkan beregu India, Abhinav Sharma-Jevlin Jayaratchagan 14-21,7-21 pada perlawanan akhir.

Tidak terhenti di situ, Wei Ying juga meraih pingat gangsa acara perseorangan wanita selepas pemain Jepun, Mai Yakabe menarik diri daripada beraksi dalam perlawanan penentuan gangsa akibat Covid-19. – MalaysiaGazette

Atlet, Boon Wei Ying (kanan) dan Edmon Teo Seng Keong (kiri) bergambar sambil menunjukkan pingat selepas memenangi pingat emas pada Sukan Deaflympic Brazil di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). Foto AMIRUL SHAUFIQ, 14 MEI 2022.