Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selamat pulang ke tanah air pagi tadi setelah mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selamat pulang ke tanah air pagi tadi setelah mengadakan lawatan kerja ke Washington D.C., Amerika Syarikat bagi menghadiri Sidang Kemuncak Khas ASEAN-Amerika Syarikat.

Beliau dan rombongan disambut oleh sekitar 400 orang di lapangan terbang Subang, Selangor.

Dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-AS yang dipengerusikan oleh Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden itu Ismail Sabri telah membangkitkan isu keselamatan serantau dan dunia.
Malaysia meminta Amerika Syarikat dan negara-negara ASEAN lain bekerjasama mencari jalan penyelesaian terhadap konflik Ukraine-Russia, Palestin, Myanmar dan Laut China Selatan.

Menurut Perdana Menteri konflik-konflik ini bukan sahaja menjejaskan ekonomi dunia tetapi juga mengorbankan rakyat yang tidak berdosa.

Malaysia menggesa Amerika Syarikat menggunakan pengaruhnya bagi menamatkan konflik Rusia-Ukraine dengan segera tanpa menggunakan kaedah peperangan atau konflik bersenjata.

“Ini kerana peperangan tidak memberi faedah kepada mana-mana negara malah membawa penderitaan kepada rakyat yang tidak berdosa,” tegas Ismail Sabri.

Ismail turut mengingatkan sidang tersebut bahawa konflik Rusia-Ukraine memberikan kesan kepada ekonomi negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia.

Selain isu Russia-Ukraine, Malaysia turut melahirkan kekecewaan mengenai isu Palestin yang telah berlarutan selama 74 tahun tanpa jalan penyelesaian.

Malaysia adalah satu-satunya dalam persidangan ini yang secara berterus-terang meminta agar AS membantu melaksanakan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai pembentukan negara Palestin sebelum perang 1967, yang memberi hak Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Palestin.

Di hadapan Presiden AS, Perdana Menteri meminta AS berlaku jujur dan telus dalam menangani isu Israel-Palestin.

“Kekejaman Israel terhadap rakyat Palestin yang terus berleluasa harus dihentikan segera.”

Bagi Ismail Sabri konflik Asia Barat membabitkan Israel-Palestin dan negara-negara Arab lain hanya boleh diselesaikan dengan melaksanakan resolusi PBB ini.

Dua isu keselamatan membabitkan rantau Asean yang dibangkitkan oleh Ismail Sabri ialah Laut China Selatan dan Myanmar.

Malaysia mahu Laut China Selatan kekal sebagai kawasan bebas dari campur tangan kuasa besar dan kekal sebagai kawasan perdagangan bebas.

Ismail Sabri meminta kuasa-kuasa besar sama ada China atau AS mengehentikan provokasi di Laut China Selatan

Dalam isu Myanmar, Malaysia berharap ia dapat diselesaikan secara diplomatik dengan pematuhan konsensus lima perkara ASEAN mengenai Myanmar.

Sebagai sebuah negara paling terkesan dengan kebanjiran pelarian dari Myanmar Malaysia meminta AS membantu memindahkan mereka ke negara ketiga lain.

Selain sidang kemuncak khas itu, Perdana Menteri turut menghadiri forum perniagaan dan mengadakan pertemuan dengan wakil-wakil perniagaan dan industri di Amerika Syarikat (AS).

Agensi berita Reuters melaporkan Ismail Sabri meminta agar Amerika Syarikat mengadakan agenda perdagangan dan pelaburan yang lebih aktif dengan ASEAN.

Menurut Ismail Sabri. pandemik COVID-19 telah menjelaskan dengan jelas kepentingan perdagangan dan kerjasama antarabangsa serta jalinan rantaian bekalan serantau.

“AS harus mengamalkan agenda perdagangan dan pelaburan yang lebih aktif dengan ASEAN, yang akan memberi manfaat kepada AS dari segi ekonomi dan strategik,” katanya.

Menurut Ismail Sabri terdapat kira-kira 6,200 syarikat AS beroperasi di ASEAN, kebanyakannya menggunakan rantau itu sebagai platform pengeluaran untuk mengeksport di rantau ini dan seterusnya.

Perdana Menteri turut menggesa ahli perniagaan AS supaya menggunakan platform Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) Asean yang kini mempunyai pasaran meliputi 15 negara, 2.3 bilion orang dan mewakili hampir satu pertiga daripada populasi global dan KDNK dunia. – BERNAMA