Sebilangan penunggang motosikal yang disita kerana mengubahsuai ekzos semasa Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal dan Pelbagai Kesalahan di ibu negara pada hujung minggu oleh JSPT KL. - Ihsan JSPT KL.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 849 saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan terhadap pengguna jalan raya oleh polis dalam Operasi Samseng Jalanan atas pelbagai kesalahan yang dilancarkan pada hujung minggu ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi berkenaan dikuatkuasakan bermula 13 hingga 15 Mei ini dengan kekuatan 11 pegawai kanan dan 72 pegawai rendah polis bermula pukul 10 malam dan selesai lebih kurang pukul 4 pagi.

Antara individu yang ditahan berlumba haram dan melakukan aksi berbahaya  dalam Op Samseng oleh JSPT KL di hujung minggu ini di ibu negara. – Ihsan JSPT KL.

“Dalam operasi yang dilaksanakan di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Raja Laut, Jalan Kuching, Jalan Genting Klang dan Lebuhraya DUKE itu sejumlah 849 saman telah dikeluarkan diatas pelbagai kesalahan.

“Justeru dalam operasi sama, lima buah motosikal telah disita di bawah Seksyen 64 APJ 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos) dan knderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak JAS serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Sarifudin, dalam operasi sama, polis turut membuat tangkapan ke atas 11 orang warga tempatan yang berumur dalam lingkungan 22 hingga 62 tahun yang telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 45(A) APJ 1987 kerana memandu di bawah pengaruh alkohol.

Menurut beliau, kesemua tangkapan itu akan telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah seksyen yang sama.

“Selain itu, polis turut melakukan tangkapan terhadap tujuh lelaki warga tempatan, yang menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig zag, roket, Superman serta bersaing.

“Kesemua tujuh tangkapan yang berumur dalam lingkungan 17 hingga 25 tahun telah dibawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain.

Ops Samseng Jalanan yang dikuatkuasakan di hujung minggu bermula Jumaat lalu oleh JSPT KL di beberapa lokasi utama di ibu negara.- Ihsan JSPT KL

“Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi di hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana-mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast