Home Nasional Ravichandran akan tawan Everest secara solo tanpa bantuan oksigen tahun depan

Ravichandran akan tawan Everest secara solo tanpa bantuan oksigen tahun depan

KUALA LUMPUR – Belum hilang penat kejayaan menawan puncak Gunung Everest di Nepal dua hari lepas, pendaki solo negara, T. Ravichandran kini berazam lagi untuk menawan ‘bumbung dunia’ itu pada tahun depan.

Kali ini beliau akan melakukannya tanpa bantuan oksigen pada tahun depan.

Pendaki profesional berusia 57 tahun itu  tidak dapat membawa misi tanpa bantuan oksigen pada ekspedisi kali ini disebabkan diberikan tanggungjawab mengetuai ekspedisi berkumpulan.

“Saya pada mulanya sudah bersedia untuk membawa misi pendakian secara solo tanpa bantuan oksigen untuk menawan puncak gunung Everest kali ini.

“Namun, oleh kerana membawa tanggungjawab besar mengetuai ekspedisi berkumpulan iaitu seorang lagi rakan pendaki negara bersama kali ini, maka saya terpaksa mengambil serius mengenai aspek keselamatan dan menggunakan bantuan oksigen untuk ke puncak ‘bumbung dunia’.

“Saya gembira buat kali ketiga sudah menawan Gunung Everest kali ini selepas memulakan ekspidisi berkenaan awal Mei ini dan sudah pasti misi menawan Everest secara solo tanpa bantuan peralatan tong gas oksigen akan diteruskan pada tahun 2023,” katanya menerusi aplikasi perbualan Google Meet dari Basecamp Everest jam 12 tengahari waktu Malaysia.

Menurut Ravichandran, berbanding dua kejayaan terdahulu menawan Everest bermula 2019 agak berbeza dengan kejayaan kali sekarang kerana beliau mendaki solo  dan kali ini mengetuai ekspedisi secara berkumpulan bersama beberapa rakan senegara, Elangovan.

“Kalau dua kejayaan menawan Everest sebelum ini, dapati banyak cabarannya dari segi ilmu dan persiapan berdepan cuaca ekstrem yang sentiasa berubah dan tidak menentu selain kesesakan pendaki.

“Namun untu kali ketiga ini sangat berbeza sebab ada rakan kumpulan untuk mendaki bersama dan menawan puncak selain ia membolehkan kami saling membantu menjaga satu sama lain dari segi segala keperluan,” ujarnya.

Katanya, pendakian dan kejayaan menawan puncak gunung kali ini membawa kenangan yang tidak dapat dilupakan apabila mengimbas semula detik cemas dan mendukacitakan iaitu kematian salah seorang rakannya pada pendakian sebelum ini.

“Saya tidak akan lupakan trauma kematian rakan semasa pendakian pertama dan kali ini dapat menyahut pendakian ketiga ini dengan jayanya yang mana pada tahun pertama kami mendaki dari bahagian utara laluan Tibet, saya meninggalkan seorang kawan yang masih hidup lagi, dua hari dia akan meninggal dunia, sesuatu yang tak dapat lupakan sehingga hari ini.

“Itu keputusan atau pun tindak balas terpaksa diambil selaku pendaki profesional. Hari demi hari saya libatkan diri latihan mendaki seluruh negara dan belajar membuat persiapan rapi mengelak insiden sama menimpa saya.

“Ekspeidisi dan kejayaan kali ini sangat baik sebab tidak berlaku masalah kesesakan pendaki di kaki gunung yang mana kurang pendaki mendaftar tahun di pasca pandemik Covid-19 dan ia sekaligus menambah keyakinan, kurangkan risiko pendaki mati dalam cabaran ini.

“Cuma dua sahaja pendaki mati kali ini akibat sakit jantung dan seorang lagi kena cuaca ekstrem dari Rusia meninggal dunia tiga hari lepas,” katanya.

Katanya, kali ini dia membawa misi mengetuai ekspidisi menawan Everest secara berkumpulan yang mana sejurus menerima berita dua hari selepas tali keselamatan sudah siap dipasang sepanjang gunung Everest, pihaknya mengambil langkah fast attack bagi memulakan pendakian.

Jelas Ravichandran, kali ini cuaca yang baik dan tidak ekstrem serta tiupan angin yang kurang memudahkan pendakian kumpulannya yang dimulakan 2 Mei lalu sebelum menawan puncak gunung dalam jangka masa dua minggu iaitu pada 12 Mei lalu kira-kira pukul 9.17 pagi waktu tempatan Nepal.

Mereka menggunakan teknik fast high quality summit push untuk ke puncak sejurus menerima berita tali keselamatan sudah siap dipasang ke puncak gunung itu.

Malah radang jari yang dialami ketika dua pendakian sebelum ini berjaya dielak pada misi tahun ini dengan berbekalkan ilmu persiapan dan latihan berterusan pendakian gunung lain.

“Sebelum ke sini jari OKU saya dirujuk dengan pakar supaya dapat jalankan sedikit artificial recovery dan pembedahan kecil supaya saraf hujung jari dibaik pulih.

“Kesejukan jari terpaksa dihadapi pada khemah ketiga sebelum ke puncak itu agak menyedihkan juga tetapi pengalaman itu bernilai ketika berada pada paras 7,300 meter di Everest sebelum berjaya menawan puncak kali ketiga untuk rekod peribadi.

“Misi pendakian solo tanpa bantuan oksigen sudah dimulakan mulai saat ini untuk pendakian solo pada April 2023 nanti,” tegasnya.

Ravichandran berkata, ketiga-tiga misi dan ekspedisi pendakian Everest tidak akan berjaya tanpa sokongan moral dan logistik daripada pihak penaja rasminya MyPW yang turut membekalkan minuman air tenaga aisotonik untuk mengekalkan tahap oksigen dalam badan sepanjang pendakian itu sehingga berjaya.

Menurut Elangovan, beliau menyifatkan pencapaiannya merupakan suatu kejayaan yang sangat mengujakan serta membanggakan keluarga dan negaranya.

Sebagai memberi inspirasi bersempena sambutan Hari Belia Negara 2022, Elangovan memberitahu, tiada apa yang sukar untuk dicapai dalam kehidupan jika mempunyai azam dan semangat kekentalan mencapai sesuatu misi itu kuat dalam diri masing-masing.

Justeru katanya, pencapaian beliau menawan gunung Everest kali pertama pada usia 60 tahun adalah bukti umur itu hanyalah angka dan bukan penghalang impian.

“Usia itu hanyalah angka semata-mata tetapi tiada keuzuran untuk cita-cita kita yang mana sekiranya setiap beliau menguatkan fokus dan set minda yang matang untuk mengejar sesuatu misi, ia mesti boleh dicapai jika berlatih dan berusaha penuh gigih.

“Jika saya dalam usia 60 tahun boleh menawan Everest yang dianggap pendakian sangat ekstrem dan berbahaya oleh semua pendaki dari serata dunia kenapa tidak anda selaku belia di Malaysia?” soalnya.

Justeru Elangovan meluahkan hasrat mahu meneruskan misinya untuk menawan gunung tertinggi di lima lagi benua yang dirancang dalam jadual misi pendakiannya selepas ini.-MalaysiaGazette