Sebahagian perwakilan yang menghadiri Perhimpunan Agung Khas UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto HAZROL ZAINAL, 15 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur menjadi medan Persidangan Khas UMNO hari ini bagi meluluskan usul tunda pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Perwakilan UMNO yang ditemui sebelum persidangan berlangsung berkata, pembentangan usul bagi menunda pemilihan parti penting dalam memastikan parti itu bersedia menghadapi PRU-15.

Mazarina Mazlan

Ketua Pergerakan Puteri UMNO Setiawangsa, Mazarina Mazlan berkata, tindakan UMNO untuk menunda pemilihan adalah tepat dan memberikan ahli untuk fokus sepenuhnya terhadap PRU-15.

“Pemilihan ini akan berlaku banyak pertandingan. Bila dalam masa dekat PRU pertandingan akan banyak kem akan wujud macam mana kita nak pergi ke PRU?

“Ia akan ada perpecahan ketika PRU berlangsung. Lebih baik adakan PRU daripada melakukan pemilihan,” kata Mazarina.

Datuk Seri Azalina Othman

Ketua UMNO Bahagian Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said pula berkata, sebagai sebuah parti yang besar, UMNO tidak mampu untuk berdepan pertelagahan sesama ahli ketika PRU berlangsung.

“Kami tidak mahu ada pergaduhan di bahagian. Sebab UMNO ini parti yang besar 3.1 juta.

“Saya selalu sebut orang kerusi nak bertanding 222 je kawasan Parlimen. Bukan semua kawasan UMNO. UMNO bertanding mungkin kurang 100 kerusi. Jadi dengan ahli begitu ramai disiplin parti itu wajib ada dan kita mesti teratur.

“Kita tidak mahu marahkan ‘nyamuk kelambu dibakar. Lain yang kita kejar lain yang kita dapat,” katanya.

Persidangan khas tersebut bermula pada pukul 2 petang.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast