PAU 2022 berlangsung selama empat hari mulai 11 hingga 14 Januari 2022 di WTC, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, parti akan berunding dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) agar pindaan perlembagaan hari ini mendapat kelulusan.

“Kita hantarlah (pindaan Perlembagaan UMNO) kepada RoS  nanti. Perkara itu kena duduk dan berunding,” katanya ketika ditemui media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

UMNO hari ini sebulat suara meluluskan usul pindaan perlembagaan parti itu dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO hari ini.

Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, RoS tidak mempunyai kuasa untuk menghalang UMNO meluluskan pindaan perlembagaan parti itu.

Beliau yakin tiada masalah untuk RoS meluluskan pindaan perlembagaan UMNO bagi memasukkan penangguhan pemilihan parti selama enam bulan selepas pilihan raya umum.

“RoS tidak sepatutnya ada halangan. RoS tak boleh kuasai parti. RoS hanya pantau sama ada kita ikut perlembagaan atau tidak,” katanya.- MalaysiaGazette