Dalam parti, beliau perlu akur dengan kehendak akar umbi.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan kononnya Persidangan Khas UMNO hari ini mahu menyelamatkannya dan ia satu tuduhan tidak benar.

Beliau berkata, ia merupakan satu perkara yang dangkal sekiranya ada dalam kalangan ahli UMNO termasuk saf kepimpinan tertinggi parti berpandangan atau berfikiran sempit sedemikian.

Katanya, gesaan agar pemilihan parti diadakan selepas pilihan raya umum adalah usul daripada majoriti bahagian-bahagian yang telah mengadakan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian masing-masing.

“Pindaan ini adalah manifestasi suara akar umbi. Saya yakin saudara saudari sekalian hendak melihat parti kita kukuh dan berpadu.

“Adat memimpin, apa pun yang datang, bahtera perlu diselamatkan. Walau diri terkorban namun bahtera jangan dibiarkan karam,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada Persidangan UMNO Khas yang di dakan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini hari ini.

Pada masa sama, Ahmad Zahid turut menegaskan pindaan Perlembagaan kali ini akan memberi ruang kepada pasukan atau kumpulan kepimpinan pusat, bahagian dan cawangan bagi setiap penggal pemilihan untuk memfokuskan gerak kerja menghadapi pilihan raya umum (PRU).

Ujarnya, dengan mengabsahkan pindaan hari ini, perwakilan yang hadir adalah pasukan yang akan membawa parti menghadapi PRU ke-15.

“Inilah pasukan yang setelah jatuh bangkit dengan keazaman, inilah pasukan yang meskipun tewas PRU ke-14 tetapi kekal berpaksikan kesetiaa, inilah pasukan yang menggalas tanggungjawab parti dan mengharungi setiap cabaran, inilah pasukan yang tidak lari ketika bertempur di medan, inilah pasukan yang tidak tunduk kepada ugutan, inilah pasukan yang telah disiapsiagakan untuk menghadapi peperangan,
inilah pasukan yang kekal istiqomah dalam perjuangan,
inilah pasukan dalam siri pilihanraya kecil dan pilihanraya negeri yang telah menjana kemenangan.

“InsyaAllah…andalah yang akan bersama-sama dengan kepimpinan parti mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 untuk melakar kejayaan,” katanya. – MalaysiaGazette