Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor,  Ling Tian Soon.

JOHOR BAHRU- Sebuah kedai makan di sini diarahkan tutup setelah pihak Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) mendapati tahap kebersihannya tidak memuaskan susulan isu tular mengaitkan premis berkenaan dengan kes keracunan makanan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Negeri Johor,  Ling Tian Soon berkata, pihaknya menyiasat kes perkara itu  susulan dakwaan berkenaan keracunan makanan yang berlaku semalam oleh seorang pelanggannya.

Katanya, notis turut dikeluarkan di bawah Seksyen 32B Akta Makanan 1983 atas kesalahan melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan (PPKM) 2009.

“Pejabat Kesihatan Daerah Johor Bahru masih melakukan pengesanan kes keracunan makanan secara aktif yang berkaitan kejadian ini dari fasiliti kesihatan swasta dan kerajaan.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk mengambil langkah pencegahan untuk mengurangkan risiko keracunan makanan dengan memilih kedai makan yang mempunyai tahap kebersihan memuaskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihati masyarakat agar mengamalkan ‘lihat, hidu dan rasa’ sebelum makan untuk mengelak keracunan makanan selain mengenal pasti gejala keracunan makanan seperti sakit perut, muntah dan cirit-birit bagi mendapatkan rawatan segera. – MalaysiaGazette