PDRM
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Polis membuka kertas siasatan terhadap kes kemalangan maut melibatkan penunggang motosikal di Batu 8
Jalan Gombak Lama semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan berkenaan disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Insp Mohd Shaifuddin di talian 017-6645812 atau Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di talian 03- 61262222,” katanya menerusi kenyataan.

Terdahulu, beliau mengesahkan kemalangan yang berlaku pukul 8.45 malam tadi melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha LC dengan sebuah motokar jenis Perodua Myvi berwarna biru.

Hasil siasatan mendapati kemalangan berkenaan berlaku semasa mangsa lelaki yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dari arah Batu 10 dalam perjalanan ke Titiwangsa untuk bermain futsal.

Bagaimanapun, katanya mangsa berpatah balik ke Batu 10 selepas mendapati kasutnya tertinggal.

Jelas Zainal, motor yang ditunggang mangsa hilang kawalan akibat jalan basah terbabas dan terjatuh di lorong bertentangan seterusnya dilanggar oleh kereta jenis Myvi.

“Kemudian datang sebuah motokar jenis Myvi berwarna Biru tidak sempat mengelak terus melanggar mangsa. Motokar tersebut berhenti seketika sebelum beredar dari lokasi kemalangan,” jelasnya.

Zainal Mohamed berkata, mangsa disahkan meninggal di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.-MalaysiaGazette