Sebahagian penumpang penerbangan MAS dari Jeddah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang hari ini.

BAYAN LEPAS – “Tiada sebarang maklumat mengapa penerbangan kami terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selain hanya diberi air dalam tempoh lima jam.”

Itu luahan Tariq Farouk Abdul Basir, salah seorang daripada 191 penumpang Malaysia Airlines (MAS) dari Jeddah ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang terkandas di LTAPP atas faktor cuaca.

Menurutnya, mereka sepatutnya mereka tiba di KLIA pukul 11 pagi namun selepas penerbangan dilencongkan ke LTAPP, kesemua penumpang dibiarkan berada dalam pesawat hampir lima jam tanpa sebarang maklumat.

Tariq Farouk.

“Kami tertekan atas apa yang terjadi hari ini kerana semua penumpang tidak tahu apa keadaan semasa malah informasi yang diberikan tidak jelas.

“Selepas hampir lima jam baru mereka (kru MAS) beritahu ada isu teknikal dan akan tempatkan kami di hotel sementara menunggu penerbangan semula ke KLIA pada pukul 2 atau 3 pagi nanti.

“Keluarga saya sudah tunggu di Kuala Lumpur dan saya tak tahu nak update mereka macam mana susulan pengecas telefon bimbit berada dalam kargo bagasi,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di pintu ketibaan LTAPP di sini hari ini.

Tambah Tariq Farouk, ini merupakan pengalaman buruk buat dirinya dalam tempoh 10 tahun berurusan dengan penerbangan.

“Bagi saya, komunikasi membabitkan penerbangan ini sangat teruk. Tidak cukup itu, dalam tempoh lima jam tersebut tiada makanan diberikan kecuali kita minta minuman.

“Cuba bayangkan nasib warga emas yang turut berada dalam pesawat tersebut,” jelasnya.

Abdullah Sham.

Sementara itu, seorang penumpang warga asing, Abdullah Sham merumuskan penerbangannya ke Malaysia kali ini ibarat mimpi negeri.

“Saya kecewa dengan apa yang berlaku hari ini bukan sahaja kerana tiada maklumat sahih diberikan malah kami dibiarkan berada dalam pesawat begitu lama.

“Pelbagai informasi oleh kru dan kapten namun semuanya bercanggah. Kalau sudah tau cuaca buruk mengapa kapten pesawat masih meneruskan penerbangan hingga menyebabkan kehabisan minyak?

“Ini tidak sepatutnya berlaku kepada pelancong seperti kami. Saya rugi bayar bilik penginapan namun tidak dapat menikmatinya disebabkan isu ini,” katanya.

Turut meluahkan rasa sama, penumpang yang ingin dikenali sebagai Muhammad.

Menurutnya, dia terpaksa tunda mesyuarat berkaitan perniagaan di Manila, Filipina susulan masih terkandas di Malaysia.

Muhammad.

“Dua kerugian saya tanggung iaitu membabitkan kerja serta tiket penerbangan yang bernilai RM3,000.

“Saya harap pihak MAS ambil ini sebagai pengajaran agar nasib yang menimpa kami hari ini tidak berulang kepada penumpang lain,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengurus Kanan LTAPP, Mohd Nadzim Hashim ketika dihubungi mengesahkan ada pesawat yang sepatutnya mendarat di KLIA dilencongkan ke LTAPP atas faktor cuaca. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.