Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Pengunduran Datuk Dr Afifi Al-Akiti sebagai Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan Perak merangkap Penasihat Rasmi Sultan Perak bukti ketegasan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dalam memastikan institusi Islam dan istana tidak dicemari.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepantasan Sultan Nazrin dalam isu tersebut telah meleraikan keresahan rakyat dan memelihara integriti institusi Islam.

“Saya ikuti perkembangan pengunduran menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan, Orang Besar Delapan Negeri Perak merangkap Penasihat Rasmi Sultan Perak dalam hal ehwal Islam daripada Datuk Dr Afifi al-Akiti yang diulit kontroversi baru-baru ini.

“Menjunjung kasih atas kepantasan Tuanku Sultan Perak dalam meleraikan keresahan rakyat dan memelihara integriti institusi Islam.

“Ia juga membuktikan ketegasan Duli Tuanku dalam memastikan institusi Islam dan Istana tidak dicemar,” kata Presiden PKR itu dalam satu kenyataan ringkas hari ini.

Afifi yang juga pensyarah Pusat Islam, Universiti Oxford, United Kingdom telah mengutus surat bertarikh 15 Mei memohon perkenan Sultan Nazrin untuk mengundurkan diri daripada penyandang gelaran berkenaan.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Datuk Seri Ayob Hashim berkata, Baginda menzahirkan penghargaan atas segala khidmat yang diberikan oleh Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

Sultan Nazri berkenan menerima permohonan tersebut untuk dikuatkuasakan 15 Mei 2022.

Dalam surat permohonan yang turut dilampirkan, Afifi berkata, sejak dua minggu kebelakangan ini, tular bahan-bahan tertentu di media sosial yang bertujuan mencemarkan nama beliau.

Menurut Afifi beliau memilih untuk tidak mahu mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlaku perdebatan berpanjangan yang tidak memberikan sebarang manfaat.

Bahan-bahan yang ditular juga kelihatan mempersoalkan kesesuaian peranan saya dengan institusi istana dan mempertikaikan peranannya dengan urusan hal ehwal agama Islam.

Sebelum ini tular di media sosial, video berdurasi 3 minit 24 saat memaparkan visual dari sudut tepi imej seorang lelaki yang dikatakan tokoh agama dan penasihat sultan sedang berhibur di sebuah kelab malam.

Afifi telah dimasyhurkan sebagai Orang Kaya Delapan Perak yang membawa gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan pada 5 November 2018.- MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Afifi undur diri jadi penasihat agama sultan