Dr Afifi al-Akiti

IPOH – Seorang agamawan yang dikaitkan dengan imej lelaki berada dalam sebuah kelab malam, Datuk Dr Afifi al-Akiti mengundurkan diri daripada jawatan Penasihat Rasmi Sultan Perak dalam hal ehwal islam.

Pejabat Dewan Negara Perak mengesahkan menerima surat pengunduran menjawat gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan daripada Afifi.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim berkata, warkah pengunduran diri daripada gelaran itu yang bertarikh hari ini.

Beliau memohon perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah untuk berundur daripada menyandang gelaran terbabit.

Setiausaha Dewan Negara Perak, Toh Amar Seri Diraja Datuk Seri Ayop Hashim berkata, warkah itu sudah diangkat sembah untuk pertimbangan Sultan Nazrin dan telah diperkenankan.

“Baginda menzahirkan penghargan atas segala khidmat bakti yang diberikan Dr Afifi dalam tempoh menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Baginda juga berkenan menerima permohonan itu (pengunduran) untuk dikuatkuasakan pada 15 Mei 2022,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Afifi dalam warkah yang ditulis mengakui pengundurannya adalah disebabkan berkait rapat dengan penularan bahan di media sosial yang dilihat bertujuan mencemarkan namanya sejak dua minggu kebelakangan.

Beliau memilih untuk tidak mengulas atau memberi sebarang jawapan yang boleh mencetuskan berlakunya perdebatan berpanjangan yang tidak memberi sebarang manfaat.

Menginsafi perkara ini yang jika berlarutan dan tidak dibendung akan menjejaskan kemuliaan raja pemerintah dan institusi istana, saya mengutus warkah ini untuk menyampaikan hasrat ikhlas mahu berundur diri daripada menyandang gelaran Orang Kaya-Kaya Imam Paduka Tuan.

“Keputusan ini saya lakukan atas rasa tanggungjawab dan sifat taat setia seorang rakyat kepada sultannya demi melindungi darjat kemuliaan Sultan Perak agar tidak dicacatkan dan begitu juga untuk mengelak institusi istana daripada dicemari,” tulis Afifi.

MalaysiaGazette sebelum ini melaporkan berita tular di media sosial video kelibat seorang lelaki yang didakwa merupakan salah seorang penasihat dalam Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam berada di sebuah kelab malam.

Seorang pengguna media sosial yang menggunakan akaun Zaharin Mohd Yassin berkongsi video membabitkan individu tersebut sejak 2 Mei lalu.

Cubaan MalaysiaGazette untuk mendapatkan kenyataan daripada beliau dengan cara menghubungi dan menghantar mesej turut gagal.

Afifi adalah Felo Pusat Pengajian Islam Universiti Oxford, United Kingdom, rakyat Malaysia dan anak Melayu pertama serta satu-satunya ditawarkan jawatan tetap di universiti terkemuka berusia lebih 900 tahun itu sebagai pensyarah pada usia 32 tahun.

Beliau turut dilantik oleh Majlis Raja-Raja sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Tertinggi Majlis Raja-Raja Hal Ehwal Islam Peringkat Persekutuan bermula 2018, selain turut tersenarai dalam The World’s 500 Most Influential Muslims sejak 2010 atas jasa dan sumbangannya.- MalaysiaGazette