Setiausaha FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar. Foto Facebook FAM.

PETALING JAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menasihati semua pemain kebangsaan dapat melaporkan diri dahulu pada hari pertama kem latihan pusat kebangsaan, Khamis ini.

Setiausaha FAM, Mohd. Saifuddin Abu Bakar berkata, biarpun terdapat pemain memiliki masalah namun melaporkan diri tetap menjadi keutamaan kepada mereka di mana apa jua isu berbangkit boleh dibawa berbincang.

“Kepada semua pemain yang dipanggil untuk latihan skuad kebangsaan ini saya mohon agar dapat hadir melapor diri pada 19 hari bulan walaupun ada kecederaan ataupun ada masalah.

Sebelum ini, tonggak pertahanan kanan Sabah FC, Mohd Rizal Mohd Ghazali gagal melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan, Harimau Malaya pada 14 Mac lalu.

Dia yang pada asalnya diletakkan dalam Senarai Bersedia dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon bagi menggantikan pemain Johor Darul Ta’zim, Mohd. Syahmi Safari.

Perubahan itu kerana Syahmi meminta pengecualian untuk tidak melapor diri kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Susulan itu, Pan-gon terpaksa memanggil seorang lagi pemain dari senarai bersedia iaitu Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi dan pemain pertahanan Negeri Sembilan FC itu hadir melapor diri.

Namun Rizal mampu menarik nafas lega apabila FAM hanya memberi amaran keras sekali gus terselamat daripada hukuman penggantungan atau denda.

Dalam perkembangan lain, Mohd. Saifuddin turut mengesahkan Myanmar terpaksa menarik diri daripada aksi persahabatan Tier 1 yang dijadual berlangsung pada 27 Mei namun mereka berjaya mendapatkan Brunei sebagai pengganti.

“Kita ada mencari beberapa pasukan lain tetapi ada kekangan seperti liga yang tengah berjalan dan prosedur kuarantin di negara masing-masing jadi mereka tidak mahu keluar dari negara mereka,” katanya.

Sebagai rekod, skuad Harimau Malaya akan berdepan Brunei pada 27 Mei disusuli Hong Kong pada 1 Jun sebelum mengharungi tiga aksi pusingan Kelayakan Piala Asia 2023. – MalaysiaGazette