Selebriti, Ahmad Awaluddin Ashaari mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merosakkan palang milik pengurusan sebuah perumahan di Sunway Damansara, pada 16 April 2022 ketika hadir ke Mahkamah Majistret, Petaling Jaya. Foto MOHD ADZLAN, 16 MEI 2022.

PETALING JAYA – Selebriti terkenal, Awal Ashaari menyerahkan kes mahkamah yang dihadapinya kepada kebijaksanaan mahkamah namun menganggapnya dakwaan merosakkan palang pondok pengawal sebagai kelakar.

Awal atau nama penuhnya, Ahmad Awaluddin Ashaari berkata, kerana ‘kenakalannya’, kes itu dibawa ke mahkamah dan beliau menyerahkan perkara itu kepada peguamnya.

“Saya nak cerita panjang pun, kelakar…isunya…ceritanya agak kelakar memandangkan kes ini jadi urusan mahkamah, saya serahkan kepada peguam saya untuk tindakan lanjut.

“Bagi saya ia sangat kelakar dan isu kecil tapi nak buat macam mana, sekarang saya serahkan kepada pihak peguam sendiri.

“Tak patut kena, lepas raya pula, sebelum itu saya kena Covid-19, saya redha saja lah,” katanya kepada pemberita di lobi Kompleks Mahkamah Petaling Jaya hari ini.

Terdahulu, Awal mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan merosakkan palang milik pengurusan sebuah perumahan di Sunway Damansara pada 16 April 2022.

Awal, 41, membuat pengakuan itu selepas jurubahasa membacakan pertuduhan di hadapan Majistret Zhafran Rahim Hamzah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh pada 16 April 2022, kira-kira pukul 11.30 pagi melakukan khianat dengan merosakkan palang pagar milik pengurusan Challis Damansara di Jalan PJU 3/30 di sini yang nilai kerugian dianggarkan RM600.

Kes disiasat di Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Sementara itu, peguamnya, Datuk M.Reza Hassan berkata, pihaknya akan mengkaji semula kertas pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya sebelum tindakan selanjutnya.

“Benda ini kecil, kita nak kaji apa pertuduhan yang sebenarnya oleh pendakwaraya terhadap Awal.

“Sebaik sahaja kita dapat menilai tuduhan tersebut dan kita akan nasihatkan Awal apakah tindakan sewajarnya harus dapat diambil.

“Bagi kita masa menilai pertuduhan tersebut secara teliti,” katanya.

Berdasarkan pertuduhan itu, Reza hanya melihat pertuduhan di bawah Sesyen 427 Kanun Keseksaan lebih kepada sikap kenakalan sahaja.

“Benda ini kecil sangat, benda ini di bawah 427 Kanun Keseksaan, kenakalan, satu tindakan yang kenakalan, itu sahaja,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Rosak palang pondok pengawal: Awal Ashaari mengaku tak bersalah