Dr Muhamad Akmal Saleh Pulau Gadong Covid-19 cluster Melaka state election tahfiz centre madrasah Kolej Vokasional Melaka Tengah Covid-19 cluster Jalan Tun Telani Cluster students vocational college HFMD hand foot and mouth disease infectious
Dr Muhamad Akmal Saleh

MELAKA – Tadika, taska dan pusat jagaan menjadi penyumbang tertinggi kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Melaka iaitu sebanyak 75 peratus atau 1,033 kes daripada 1,378 yang direkodkan setakat 14 Mei lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, peningkatan semula wabak berkenaan melibatkan bayi dan kanak-kanak bawah enam tahun susulan selepas cuti Hari Raya Aidfitri yang menyaksikan semua institusi itu kembali beroperasi.

Setakat ini, menurutnya, sebanyak 12 premis berkenaan telah diarah tutup melibatkan ketiga-tiga daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Situasi HFMD di Melaka bagaimanapun masih lagi terkawal kerana majoriti kes iaitu 91.4 peratus atau 61 kes daripada keseluruhan 67 kes dirawat sebagai pesakit luar dan tiada kematian dilaporkan setakat ini.

“Setakat Minggu Epid Ke-19 2022 (ME19/2022) bermula 8 hingga 14 Mei terdapat tiga wabak atau kluster HFMD dilaporkan menjadikan jumlah terkini 16 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Daerah Jasin melaporkan bilangan kluster tertinggi iaitu 11 (68.8%), diikuti Melaka Tengah (4) dan (25%) dan Alor Gajah, satu kluster.

Peningkatan itu menyaksikan angka jangkitan melonjak sebanyak 346 kes atau 629 peratus minggu lalu berbanding hanya 55 kes di minggu sebelumnya.

Menurutnya, perbandingan peningkatan kes adalah berdasarkan rekod pada ME19/2022) bermula 8 hingga 14 Mei yang merekodkan 401 kes HFMD berbanding hanya 55 kes pada minggu sebelumnya bermula 1 hingga 7 Mei.

“Pada ME19/2022, kes di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin didapati melebihi paras epidemik 43 kes yang mana Melaka Tengah merekodkan 124 kes, meningkat 69 kes (125.4%) berbanding 55 kes pada minggu sebelumnya

“Manakala bagi daerah Alor Gajah dan Jasin masing-masing merekodkan 162 dan 115 kes berbanding tiada kes dilaporkan sebelum ini menjadikan kedua-duanya meningkat 100 peratus,” jelasnya.

Tambahnya, Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) memohon agar ibu bapa, penjaga dan guru-guru agar terus mematuhi nasihat yang di berikan bagi memutuskan jangkitan wabak berkenaan.- MalaysiaGazette