Pengarah PERKESO Pahang, Tarmizi Mukhtar (kanan).

KUANTAN – Isteri kepada mangsa insiden letupan dan kebakaran rumah pada hujung Ramadhan lalu menyara empat orang anaknya dengan menggunakan Faedah Pencen Penakat bagi meneruskan kehidupan selepas beliau kehilangan suami.

Normaryana Hamid, 29, yang merancang mencari pekerjaan berkata, beliau menerima Faedah Pencen Penakat dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hasil caruman suaminya yang bekerja sebagai tukang gunting di Kuantan sejak lima tahun lalu.

Berbekalkan wang pencen sebanyak RM567 sebulan, ia sedikit sebanyak membantu beliau yang merupakan suri rumah untuk membesarkan anak-anaknya yang berusia antara 8 bulan hingga 8 tahun, ujarnya.

“Dapat tahu arwah ada mencarum Perkeso ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu,

“Memang tidak menyangka suami layak menerima pencen penakat sebanyak RM567 dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM)sebanyak RM2,000.

“Dengan adanya pencen penakat ini sedikit sebanyak dapat membantu kami berlima meneruskan kelangsungan hidup,” katanya.

Normaryana dalam perancangan untuk berhijrah ke Jengka 14 untuk tinggal bersama ibu bapanya di kampung redha dengan pemergian suaminya, Mohd Azwan Kapli, 35, yang meninggal dunia pada petang 2 Syawal lalu setelah bertarung nyawa selama enam hari.

ARTIKEL BERKAITAN

Mangsa kedua letupan mercun Permatang Badak meninggal dunia

Kanak-kanak dua tahun rentung, lima cedera dalam kebakaran

MalaysiaGazette melaporkan arwah Azwan meninggal dunia pada 3 Mei lalu selepas melecur 90 peratus akibat letupan melibatkan kebakaran dua rumah di Pematang Badak dalam nahas 28 April.

Ibu tunggal tersebut merupakan penerima faedah bersama empat lagi penerima sumbangan semasa program bersama pemimpin masyarakat peringkat pejabat Perkeso di Wisma Perkeso hari ini.

Dalam pada itu, Pengarah Perkeso Pahang, Tarmizi Mukhtar berkata, Normaryana menerima pencen penakat secara bulanan seumur hidup dan pihak Perkeso bercadang untuk menjadikan empat anaknya sebagai anak angkat Perkeso.

“Kita akan jadikan anak arwah sebagai anak angkat Perkeso bagi membolehkan mereka mendapat pelbagai manfaat.

“Selain dapat pencen, semua anak-anak akan dibantu sehingga berusia 21 tahun dan mendapat ijazah pertama,” kata Tarmizi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast