Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) beramah mesra dengan sebahagian kakitangan KDN yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2022.

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) menafikan kecurian set data yang mengandungi maklumat 22 juta penduduk datangnya daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Menterinya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihak tidak bertanggungjawab itu jelas mendapat data berkenaan daripada pihak ketiga.

“Bukan KDN, dia bukan mendapat data daripada JPN secara terus. Kita sedang buat siasatan kerana orang boleh mengatakan dia mendapat data-data itu daripada JPN tapi sebenarnya kita ada mekanisme yang boleh membuktikan bahawa ianya bukan datang daripada JPN,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri KDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Purtajaya hari ini.

Antara menteri Kabinet yang hadir adalah Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin; Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Pengerusi Perikatan Nasional,Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Hamzah berkata demikan menjawab pertanyaan mengenai dakwaan laman sesawang teknologi Lowyat.net semalam.

Laporan itu melaporkan sejumlah dua juta data rakyat yang lahir antara 1940 dan 2004 didapati dijual dijual pada harga USD10,000 (RM43,870) di forum pasaran pangkalan data.

Dalam laporan itu, penjualnya mendakwa data peribadi itu termasuk nama, nombor kad pengenalan, alamat dan gambar dengan data daripada laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) turut dijual.

Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya akan memanggil pihak-pihak tertentu setelah pihaknya membuat siasatan terhadap isu berkenaan.

“Ini yang menyebabkan JPN merasai bahawa mungkin keperluan untuk mereka mendapatkan terus daripada JPN itu akan kita kaji semula daripada SOP.

“Memang kita sedang buat siasatan dan dapat tengok apa yang berlaku, banyak maklumat yang mereka dapat merupakan koleksi daripada tempat lain, sebab itu kita akan panggil semua mereka yang terbabit dan akan kita maklumkan tidak lama lagi,” katanya lagi.

Hamzah sebelum ini menegaskan KDN mendapati data-data yang diperolehi itu bukannya daripada JPN sebagaimana yang didakwa.

“Contohnya yang lepas kita buktikan bahawa ianya bukan datang daripada JPN tapi beberapa agensi yang kita berikan ruang untuk mereka menerima maklumat daripada kita,” jelasnya lagi. – MalaysiaGazette