Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan kepada pesawah berjumlah RM200 sebulan bagi tempoh enam bulan sementara menunggu hasil menunai padi.

Berita gembira itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob malam ini bagi menghargai jasa dan pengorbanan besar golongan pesawah terhadap negara.

Beliau berkata, bantuan itu akan dimasukkan dalam Bajet 2023 yang bakal dibentangkan pada Oktober depan.

“Saya difahamkan pesawah tidak mendapat sebarang elaun berbanding nelayan dan penoreh.

“Saya sudah bercakap dengan Menteri Kewangan dan kerajaan bersetuju menyalurkan bantuan kepada pesawah berjumlah RM200 sebulan bagi tempoh enam bulan sementara menunggu hasil menuai padi.

“Kita adil pada semua, penoreh dapat, nelayan dapat, jadi pesawah juga dapat. Ini menunjukkan bahawa kerajaan tidak akan lupa jasa petani, nelayan dan juga pentenak,”katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Ke-48 Tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

Pada majlis sama, NAFAS mengumumkan dividen Dana Peladang Kebangsaan (DPK) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 sebanyak lapan peratus untuk Skim Pelaburan Khas Peladang (SPKP). – MalaysiaGazette