Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Lima orang suspek yang ditahan kerana membakar bunga api di Plaza Tol Setia Alam dekat sini bagi meraikan hari kelahiran salah seorang rakan mereka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kesemua suspek yang ditahan Selasa lalu telah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini untuk proses permohonan reman.

“Kesemua suspek dibenarkan direman sehari tetapi polis telah merakam keterangan daripada mereka dan membebaskan dengan jaminan polis petang tadi sementara siasatan diselesaikan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Mohd Iqbal, kertas siasatan kes berkenaan akan dilengkapkan untuk diangkat kepada timbalan pendakwaraya dalam masa tersekat untuk tindakan arahan lanjut.

Pada 16 Mei lalu, video insiden yang berlaku di tepi jalan berhampiran Tol Setia Alam itu viral di TikTok yang dimuat naik oleh pemilik@Yogen212 sebelum dikesan Ketua Balai Setia Alam pukul 12 tengahari.

Hasil siasatan awal mendapati video berkenaan menunjukkan sekumpulan lelaki India bermain mercun di tepi jalan berhampiran Plaza tol Setia Alam.

Kejadian berlaku pada 14 Mei lalu ebih kurang pukul 8 malam itu bagi meraikan hari lahir salah seorang rakan mereka yang dikenali Mustafa yang berhenti di tepi tol berkenaan untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

Rentetan insiden itu lima suspek berusia lingkungan 30 ke 42 tahun telah ditangkap bagi membantu siasatan dan kesemua tangkapan akan direman pada 18 Mei 2022 untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Lima lelaki diberkas bakar bunga api secara berbahaya sambut hari kelahiran ‘Big Brother’