Muhammad Firdaus (kiri) melihat dokumen kenderaan yang hendak dilelong di JPJ Bukit Katil, Melaka hari ini.

MELAKA – Sebanyak 7,564 saman Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Op Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2022 selama 10 hari bermula 29 April lalu.

Pengarahnya, Muhammad Firdaus Shariff, berkata, kesalahan memandu melebihi had laju 110 kilometer sejam itu direkodkan menerusi dua kamera AWAS di Lebuh Raya PLUS yang sebelum ini dikenali sebagai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).

Menurutnya, susulan itu, pengguna lebuh raya berkenaan dijangka menerima notis saman HRA 2022 yang dikenakan tindakan mahkamah dan tidak boleh dikompaun itu bermula bulan depan di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Semakan awal mendapati, rekod tertinggi adalah 1,213 saman pada 1 Syawal pada 2 Mei yang dirakamkan AES bagi kedua-dua arah utara dan selatan di Kilometer (KM)185 berhampiran Bemban, Jasin dan KM214.4, Simpang Ampat, Alor Gajah.

“Pada 8 Mei pula, 890 saman dikeluarkan menjadi kedua tertinggi yang mana kita percaya peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding minggu lalu disebabkan sambutan Aidilfitri selepas dua tahun umat Islam tidak beraya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Bil 1/2022 di JPJ Bukit Katil  hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Firdaus berkata, daripada 7,564 saman dikeluarkan, 5,513 adalah bagi AWAS di Simpang Ampat, Alor Gajah di KM214.4 dengan pecahan 2,834 saman bagi arah selatan manakala 2,679 saman arah selatan.

“Bagi daerah Jasin, 996 saman dikeluarkan AWAS di KM185 arah selatan dan 1,055 saman di KM184.2 arah utara.

“Kesalahan ini sempena HRA 2022 ini tidak boleh dikompaun sebaliknya pemandu yang didapati melakukan kesalahan ini dikenakan tindakan mahkamah bermula bulan depan,” katanya.

Sementara itu, bagi kesalahan di Jalan Persekutuan, beliau berkata, operasi sama merekodkan 88 saman dikeluarkan di bawah sembilan kesalahan utama.

Kesalahan tertinggi adalah tidak mematuhi lampu isyarat merah sebanyak 23 saman, tidak memakai topi dan tali pinggang keledar (18), membawa lebih muatan (15), memotong barisan (14) dan menggunakan telefon bimbit 11 saman.- MalaysiaGazette