Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berucap pada Majlis Makan Malam dan Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Nafas ke-48 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 18 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Kerajaan menggesa Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) melaksanakan perubahan dan anjakan paradigma bagi memastikan negara mempunyai bekalan makanan yang mencukupi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, NAFAS perlu memberi ‘nafas’ baru kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi tinggi dan pendigitalan, bagi meningkatkan pengeluaran pertanian.

Menurut beliau, ia sekali gus mengurangkan kebergantungan kerajaan kepada import makanan.

Katanya, ketika ini kerajaan membelanjakan lebih RM50 bilion untuk mengimport bahan makanan manakala menyalurkan subsidi sebanyak RM70 bilion bagi tahun ini.

“Selain itu, NAFAS perlu menghapusksn orang tengah. Sewaktu menerajui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, saya telah mengisytiharkan 2014 sebagai tahun ‘Jihad Memerangi Orang Tengah’ kerana mereka inilah yang memerah keringat petani dan nelayan, dan memanipulasikan harga di pasaran.

“Jihad ini perlu diteruskan oleh NAFAS menerusi strategi penguasaan rantaian bekalan seperti mewujudkan Pusat Pembelian Padi, Pusat Pengumpulan Buah-Buahan, penambahan pasar tani serta pasar-pasar nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) Ke-48 Tahun 2021 di Pusat Dagangan Dunia di sini malam ini.

Ismail Sabri menambah, kerajan juga bersetuju untuk menghapuskan permit diluluskan (AP) bagi membawa masuk bahan asas makanan dari negara luar berkuat kuasa serta merta.

“Keputusan tersebut dicapai dalam mesyuarat Jemaah Menteri pagi tadi.

“Ini akan membolehkan semua pihak boleh mengimport bahan asas makanan ke negara ini tanpa dimonopoli oleh golongan tertentu atau kartel yang akhirnya memanipulasi harga.

“Kementerian Pertanian dan Industri Makanan atau MAFI akan umumkan butiran lanjut berhubung keputusan ini,” katanya. – MalaysiaGazette