Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

KUALA LUMPUR – Prosiding 1Malaysia Development melibatkan penyelewengan dana RM2.3 bilion dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bersambung hari ini dengan saksi ke-15, Tan Sri Mohd Bakke Salleh menyambung keterangannya di Mahkamah Tinggi.

Mohd Bakke yang merupakan bekas Pengerusi 1MDB sebelum meletakkan jawatan atas alasan dirinya berpandangan berlaku salah laku dengan pengetahuan Najib hari ini membuat pendedahan berkaitan keterangan dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) pada 2016.

Dakwanya, beliau ada diminta untuk bertemu dengan Najib dua minggu sebelum memberi keterangan kepada PAC.

Dakwa Mohd Bakke, Najib telah memintanya untuk bertemu Pengerusi 1MDB ketika itu, Datuk Seri Hasan Arifin di rumah Pengarah Urusan TV3, Datuk Seri Ahmad Farid Ridzuan.

Jelasnya, Najib ada memintanya untuk tidak menyebut apa-apa yang sensitif dan cuba memberikan reputasi baik tentang 1MDB kepada PAC.

“Bagaimanapun saya ada beritahu Najib bahawa ada kemungkinan PAC tidak akan panggil saya tetapi malang sekali saya memang dipanggil.

“Saya pergi berjumpa Hasan Arifin dua kali. Saya ada satu tanggapan pertemuan dengan Hasan dan Ahmad Farid itu sebenarnya untuk memberikan saya ‘skrip’ apa yang sebenarnya saya perlu katakan dalam PAC.

“Antara beberapa garis panduan diberikan kepada saya termasuklah jangan kaitkan nama Najib dengan Low Taek Jho. Nama Jho Low itu agak taboo dan saya diminta elakkannya. Nama baik Najib juga perlu dijaga dari kemelut ini.

“Saya telah dua kali berjumpa Hasan berhubung keterangan  dengan PAC, kali pertama ada bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Shahrol Azral Ibrahim Halmi, kali kedua pula Arul Kanda gantikan Shahrol,” katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Sambung Mohd Bakke, ketika memberikan keterangan PAC pula, beliau pelik apabila melihat Shahrol Azral juga berada di bilik yang sama.

Semalam Mohd Bakke mendedahkan ada banyak perkara yang tidak dimasukkan semasa prosiding PAC dan tidak ada dalam laporan jawatankuasa tersebut.

Dalam pada itu, Mohd Bakke juga mendedahkan Jho Low pernah membawanya untuk membuat pembentangan cadangan kerjasama dengan FGV Holdings Berhad (FGV) sekitar 2007 dengan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Bagaimanapun, kata Mohd Bakke, kerjasama itu tidak diteruskan kerana terdapat beberapa syarat tidak dipenuhi.

Ketika ini, Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan sedang berdepan empat pertuduhan iaitu menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh suapan dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan nilai RM2.3 bilion.

Prosiding bersambung ketika ini. – MalaysiaGazette