KUALA LUMPUR – Malaysia terpaksa menunggu 21 tahun untuk mendapatkan semula pingat emas dalam acara golf berpasukan lelaki selepas 21 tahun apabila menang 2-1 ke atas pasukan pilihan, Thailand pada aksi akhir, hari ini.

K Rhaasrikanesh muncul wira apabila beraksi cemerlang di lubang ke-17 di Heron Lake Golf Course untuk mengatasi Pongsapak Laopakdee dengan dua lubang sekali gus membutirkan mata kemenangan pasukan.

Terdahulu, Ervin Chang yang sentiasa menjadi harapan kem negara meletakkan Malaysia di hadapan dengan kemenangan menentang Weerawish Narkprachar.

Namun, Thailand berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ratchanon Chantananuwat yang mengetepikan Marcus Lim dengan satu lubang.

Ervin, Rhaasrikanesh, Marcus dan A Nateeshvar menjadi pasukan ketiga Malaysia mencipta kejayaan itu, mengikut jejak langkah kuartet pemenang 1989 iaitu mendiang P Gunasegaran, Johari Sulaiman, Saad Yusuf dan Wong Hung Nung serta Airil Rizman Zahari, S Sivachandhran, Shaaban Hussin dan Sahal Saedin pada 2001.

Ervin, yang bermain dalam Sukan SEA terakhirnya, mencipta legasinya sendiri dengan menjadi pemain golf Malaysia pertama mencapai kejuaraan berganda dalam satu edisi.

Dia sebelum ini mencipta sejarah memenangi emas dalam acara individu, Ahad lalu.

Pasukan wanita yang dibarisi Jeneath Wong dan Mirabel Ting bagaimanapun gagal memberikan kegembiraan berganda selepas mereka tewas 1.5-0.5 kepada Thailand. – MalaysiaGazette