Syabu seberat 28 kilogram yang cuba diseludup ke sabah dan Sarawak menggunakan pembesar suara dan ketuhar elektrik dalam kargo ditumpaskan polis KLIA dalam sidang media khas kejayaan pagi ini. Ihsan IPD KLIA

KUALA LUMPUR – Polis berjaya merampas dadah seberat 28 kilogram yang disorok dalam ketuhar elektrik dan pembesar suara dalam serbuan di kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 8 dan 11 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah KLIA, Asisten Komisioner Imran Abdul Rahman berkata, dadah tersebut ditemui dalam 28 bungkusan teh Cina dan plastik aluminium yang disumbat dalam kedua-dua peralatan elektrik tersebut.

Dadah berkenaan cuba diseludup masuk ke Sabah dan Sarawak menggunakan perkhidmatan sebuah syarikat kurier tempatan.

“Dalam rampasan pertama pada jam 8 malam 8 Mei lalu, kami berjaya merampas 3 kilogram dadah yang cuba diseludup ke Tawau, Sabah.

“Bagi kes kedua pula, sebanyak 25 kg dadah lagi dirampas dipercayai cuba diseludup ke Kuching, Sarawak dan Tawau, Sabah.

Tambahnya, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik KLIA berjaya merampas keseluruhan 56.07 kg syabu bernilai RM2.18 juta sejak awal tahun ini.

Menurut beliau, sindiket dadah cuba mengaburi mata pihak berkuasa dengan menggunakan syarikat kurier tempatan dengan memalsukan butiran penghantar dan penerima barang tersebut.

Imran juga tidak menolak kemungkinan terdapat penglibatan pekerja syarikat-syarikat kurier dalam aktiviti penyeludupan dadah itu dan menegaskan polis masih melakukan siasatan dalam segala aspek.

Kes berkenaan sedang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang 15 sebatan.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan sindiket itu didalangi warga tempatan dan tidak menolak ia dikawal oleh sindiket luar negara.

“Kami sudah berjaya mengesan dan mengenal pasti suspek  sindiket berkenaan namun belum ada tangkapan dibuat ketika ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette