Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berucap pada Program World Asthma Day 2022 di Connexion Conference & Event Centre (CCEC), Bangsar South, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 19 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Ibubapa dinasihatkan agar tidak menghantar anak-anak mereka yang dipercayai mempunyai gejala penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) ke taska dan sekolah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, ia bagi mengelakkan lebih banyak kes HFMD direkodkan di sekolah.

“Banyak kes berlaku di taska dan tadika disebabkan kanak kecil tangan masuk ke dalam mulut, ia akan merebak melalui air liur, jadi yang penting penerangan diberi kepada ibubapa apa itu HFMD, gejala dan langkah pengawal sekiranya ibu bapa kesan ada tanda HFMD,” katanya selepas merasmikan persidangan Hari Asma Sedunia 2022, hari ini.

Justeru itu, Khairy berkata, semua pihak terutamanya ibu bapa perlu diberi kesedaran serta pengetahuan berkaitan penyakit tersebut khususnya aspek kebersihan kendiri dalam mencegah dijangkiti penyakit itu.

“Pemilik premis terutama taska dan tadika supaya mereka sentiasa melakukan pembersihan terhadap premis dan mesti dibuat setiap hari supaya semua permukaan dapat dicuci dan bersih,” katanya.

Khairy menambah, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga perlu memainkan peranan mereka dalam pemberitahuan tentang kawasan titik panas kes HFMD.

Tambahnya, orang ramai boleh menyemak status kes HFMD di kawasan masing-masing bagi langkah berjaga-jaga.

“Dalam aplikasi MySejahtera ada ciri-ciri baru yang mana boleh tengok penyakit berjangkit dalam kawasan kita contohnya HFMD dan sebagainya.

“Kesedaran itu boleh membantu ibubapa buat keputusan samada nak bawa anak-anak keluar atau berwaspada dan sebagainya,” katanya lagi.

Selasa lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata HFMD dilaporkan meningkat sebanyak 15 kali ganda dengan 31,661 kes direkodkan sehingga Minggu Epidemiologi (ME) 19/2022 (14 Mei) lalu, berbanding ME sama tahun lepas yang hanya mencatatkan 2,121 kes.

Katanya, untuk kes yang dilaporkan sepanjang ME 19/2022, sebanyak 7,526 kes dilaporkan berbanding ME 18/2022 dengan 1,676 kes di seluruh negara iaitu peningkatan 349 peratus. – MalaysiaGazette