Penyanyi, Anuar Zain dan Ziana Zain bergambar bersama selepas sidang media mengenai konsert live di Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2022.

KUALA LUMPUR – Dua penyanyi lagenda tanah air, Anuar Zain dan Ziana Zain bakal bergabung dalam konsert yang dijadualkan pada 6 Ogos depan.

Konsert yang berjudul ‘Anuar Zain & Ziana Zain Live in Kuala Lumpur 2022’ itu akan dipentaskan selama 90 minit di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bermula jam 8.30 malam.

Penyanyi, Anuar Zain bercakap di sidang media mengenai konsert live di Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2022.

Mengakui sudah lama tidak bersama peminat, Anuar, 52, meluahkan rasa rindu untuk menghiburkan peminat yang menjulang namanya dalam persada seni tanah air.

“Saya berharap dapat menghiburkan para peminat yang begitu lama menunggu kemunculan kami adik-beradik di atas satu pentas,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Penyanyi, Ziana Zain bercakap di sidang media mengenai konsert live di Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2022.

Bagi Ziana, 54, beliau berharap konsert yang bakal berlangsung itu dapat menunaikan hasrat peminatnya yang lebih satu dekad menantikan gandingan adik-beradik itu untuk tampil di atas satu pentas.

“Ini adalah satu sejarah buat kami adik-beradik setelah hampir 11 tahun tidak berganding iaitu kali terakhir di Singapura. Peminat sering tanya bila saya nak adakan konsert gandingan lagi.

“Apa yang saya boleh beritahu kepada peminat, berdoalah dan satu hari pasti akan dimakbulkan. Alhamdulillah, semoga konsert kami adik-beradik pada Ogos nanti berjaya. Semoga dapat melepaskan rindu kami kepada peminat,” ujarnya.

Penyanyi, Anuar Zain dan Ziana Zain bergambar bersama selepas sidang media mengenai konsert live di Le Meridien, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 19 MEI 2022.

Pentas bersejarah dengan gandingan adik-beradik itu bakal menerima kehadiran 2,900 peminat dengan masing-masing akan menyanyikan enam lagu secara solo dan empat lagu berduet untuk menghiburkan peminat pada konsert anjuran anjuran Trumpet International Sdn. Bhd. itu.

Sementara itu, tiket konsert akan dijual pada harga bermula RM288 hingga RM1,188 yang boleh dibeli secara dalam talian di laman sesawang www.excitix.com.my mulai hari ini atau menghubungi talian 010-309 8998 untuk maklumat lanjut.

Setakat ini, tiket untuk tempat duduk paling hadapan atau kategori VIP berharga RM1,188 telah habis terjual dalam tempoh kurang 30 minit. – MalaysiaGazette