Pasukan bomba mengangkat mayat pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang lemas di Raub, Pahang.

KUANTAN – Pasukan bomba hari ini menemui dua mayat pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) yang lemas ketika mandi di sebuah tasik berhampiran pusat berkenaan di Raub.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, mayat mangsa kedua ditemukan selang empat minit daripada penemuan mangsa pertama.

Dalam kejadian jam 2.45 petang, mangsa dikenali sebagai Sha’ari Sabri, 43, dan Asrul Abdullah, 37, yang dikatakan mandi di tasik tersebut.

“Pasukan bomba yang menerima panggilan pada pukul 3.04 petang bergegas ke lokasi kejadian bagi melakukan operasi pencarian.

“Mangsa pertama telah dijumpai pada jam 4 petang pada kedalaman 10 meter, manakala mangsa kedua dijumpai pada jam 16.04 petang pada kedalaman lapan meter,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Seramai tujuh anggota dan pegawai terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat mangsa dengan menggunakan teknik ‘surface searching’ menerusi peralatan ‘grappling iron’, ujarnya.

Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan proses bedah siasat. – MalaysiaGazette