Beh Eng Lai menunjukkan rampasan dadah dalam bentuk cecair vape oleh sindiket menjual dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak setahun lalu yang ditumpaskan dalam tiga serbuan berasingan minggu ini.

KUALA LUMPUR – Kegiatan sindiket menjual dan mengedar dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) dalam bentuk perasa rokok eletronik atau ‘vape’ di ibu negara terbongkar selepas tiga serbuan dilakukan dan lima suspek ditahan.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, dalam serbuan pertama di hadapan sebuah kondominium di Jalan Kuching 17 Mei lalu, pihaknya  menangkap seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah.

Tangkapan ke atas suspek itu membawa kepada serbuan di sebuah rumah di Petaling Jaya yang digunakan sebagai pusat memproses dadah dan menahan dua lelaki tempatan dan seorang perempuan tempatan berusia 14 hingga 28 tahun.

“Remaja perempuan berusia 14 tahun tersebut dipercayai teman wanita kepada salah seorang ahli sindiket yang berusia 25 tahun itu,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul di sini pada pagi tadi.

Eng Lai berkata, polis kemudian melakukan serbuan ketiga di sebuah kondominium di Jalan Cemur di sini sekitar jam 11.30 malam pada Rabu lalu menahan seorang lagi anggota sindiket tersebut.

Kesemua lima suspek bergiat aktif menjual dadah berkenaan dalam botol perasa ‘vape’ bersaiz 10 milliliter sejak tahun lalu.

Setiap botol cecair ‘vape’ dadah itu dijual pada harga RM150 sebotol.

“Polis merampas 4,210 ml dadah sintetik jenis MDMA dan air ketum sebanyak 7,000 ml dengan nilai bahan rampasan dianggarkan berjumlah RM210,570 dalam semua serbuan itu.

“Dengan tangkapan ini, polis telah berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang aktif di Lembah Klang,”ujarnya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung atau penjara seumur hidup jika disabitkan kesalahan. – MalaysiaGazette