Taufiq (depan, tengah) dan Dato’ Nasrudin (dua dari kanan) menunjukkan buku SHARE Model for Leaders disertai para peserta yang terlibat dalam program SDGU4S yang akan turun padang selama dua hari ke Kg. Marakau dan Kg. Kilimu, Ranau.

KOTA KINABALU – Sebuah buku bertajuk “SHARE Model for Leaders” yang memuatkan kerangka terbaharu dalam menerapkan konsep kepimpinan melalui program pemindahan ilmu telah dilancarkan baru-baru ini.
.
Buku tersebut dibangunkan Timbalan Dekan Pascasiswazah dan Penyelidikan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) UMS, Profesor Madya Dr. Fatimah Ahmedy dan Pengarah Pusat Kelestarian Libatsama Masyarakat (PKLM) UMS, Dr. Jakaria Dasan.

Ia menghimpunkan penulisan berasaskan pengalaman projek pemindahan ilmu kepada komuniti yang ditulis beberapa ahli akademik.

Majlis pelancarannya disempurnakan Naib Canselor UMS, Profesor Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin di Galeri Azman Hashim.

Menurut Taufiq, penerbitan buku tersebut adalah suatu inovasi di luar kotak pemikiran yang menggabungkan strategi dan pendekatan yang praktikal serta melibatkan rakan strategik yang berkaitan serta komuniti tertumpu yang terpilih.

”Buku ini menggabungkan strategi dan pendekatan yang praktikal serta melibatkan rakan strategik yang berkaitan serta komuniti tertumpu yang terpilih.

”Ia dibangunkan hasil daripada output program Sustainable Development Goals: University for Society (SDGU4S) dibawah kerjasama Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan UMS,” katanya.

Tambah beliau, buku ini boleh dijadikan asas panduan kepada program-program libatsama masyarakat pada masa akan datang. – MalaysiaGazette