KUALA LUMPUR  – Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad akan kembali ke pangkuan Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas  lima bulan dipinjamkan kepada Kedah.

JDT dalam satu kenyataan di Facebook JOHOR Southern Tigers hari ini berkata, penyerang kebangsaan berusia 26 tahun itu akan melaporkan diri selepas tamat cuti antarabangsa.

Musim ini, Syafiq menjadi watak penting buat skuad Sang Kenari di bawah bimbingan Aidil Sharin Sahak dengan diturunkan dalam kesebelasan utama dalam kebanyakan perlawanan.

Selepas mengharungi sembilan perlawanan Liga Super bersama Kedah, dia telah merekodkan sebanyak dua gol dan tiga bantuan jaringan.

“Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim akan memanggil semula Syafiq Ahmad daripada pinjamannya di Kedah Darul Aman FC. Beliau akan menyertai semula skuad JDT selepas tamat cuti antarabangsa,” kata JDT dalam kenyataan tersebut. – MalaysiaGazette