Anuar Mohamed Kassim bergambar bersama Alat Pengasingan Sisa Pepejal Domestik Pintar yang bangunkan.

MELAKA – Sekumpulan penyelidik yang terdiri daripada pensyarah dan penuntut dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Sistem Pengasingan Pepejal Domestik Pintar (i-BIN) yang dapat mengesan dan mengasingkan beberapa jenis sisa pepejal seperti plastik, kertas, botol, logam dan bahan-bahan lain.

Sistem ini dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik yang diketuai oleh Pensyarah Kanan dari Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Ir. Ts. Dr. Anuar Mohamed Kassim bersama 2 orang penuntut Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik dengan kepujian dari Fakulti Kejurteraan Elektrik (FKE) iaitu Muhammad As Shakirin Abdul Aziz dan Nur Al Aswad Zulkefli.

Anuar berkata, sistem i-BIN ini berfungsi untuk mengasingkan secara terus bahan sisa pepejal kepada tong sampah yang telah ditetapkan bagi bahan tersebut.

Katanya, sistem i-BIN menggabungkan semua konsep teknologi penderia terkini yang dibangunkan sendiri yang dapat mengesan jenis setiap sisa pepejal tersebut secara efektif dan tepat.

”Sistem ini digabungkan dengan sistem kecerdasan buatan dan Internet of Things (IoT) yang disambungkan kepada sistem Wi-Fi dan sistem pemantauan setelit yang dapat mengesan kedudukan tong sampah tersebut,” ujarnya.

Menurut Anuar, semua teknologi itu digabungkan dalam satu alat tambahan yang boleh dipasang pada tong sampah sedia ada bagi memudahkan proses transformasi dan integrasi sistem pintar ini bersama tong sisa pepejal sedia ada.

“Sistem pesanan melalui aplikasi Telegram bersama platform digital dashboard akan dihantar kepada syarikat pengumpul sisa pepejal dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) secara terus.

“Ia bagi pemantauan secara real time berasaskan lokasi dan tahap kapasiti sisa pepejal terkumpul di setiap pusat pengumpulan sisa bagi pengutipan pintar dan terancang berasaskan kecerdasan pintar yang sangat berpotensi dalam menjayakan kelestarian alam sekitar, ekonomi dan daya huni Malaysia,” tambahnya. – MalaysiaGazette