Keadaan mangsa melecur selepas kotak suis terbakar di tapak pembinaan di Jalan Damanlela, Bukit Damansara hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang pekerja binaan nyaris maut selepas tubuhnya terbakar 80 peratus dalam kejadian di tapak pembinaan, Jalan Damanlela, Bukit Damansara hari ini.

Jurucakap Pusat Gaerakan Operasi (PGO) Bomba dalam satu kenyataan memaklumkan, seorang lagi rakan mangsa terbakar hampir 30 peratus manakala seorang lagi hanya melecur sembilan peratus pada bahagian badan.

Semua itu berlaku selepas sebuah kotak suis yang berada di kawasan tapak pembinaan tersebut terbakar.

“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur telah menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS999 pukulĀ  11.26 pagi seterusnya menghantar jentera ke lokasi kejadian.

“Setibanya pasukan bomba di lokasi kejadian, mengikut laporan dari pemanggil kebakaran melibatkan sebuah kotak suis yang berada di kawasan tapak pembinaan,” katanya.

Tambah kenyataan itu, kesemua mangsa dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Sehingga kini bomba masih lagi menyiasat bagi mengetahui punca kebakaran itu berlaku. – MalaysiaGazette