Peserta cuba mengimbas kod QR yang telah dijana

KOTA MARUDU – Sebanyak 15 spesies tumbuhan rintis taman botani di Pusat Kebudayan Walai Tobilung di sini berjaya direkodkan secara digital melalui projek QR Code UMS 2.0.

Projek tersebut diketuai Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Jurry Foo dengan kerjasama Kumpulan QR Code Project UMS 2.0, FSSK UMS, Pusat Kokurikulum dan Pemajuan Pelajar (PKPP) UMS, dan pusat kebudayaan berkenaan.

Menurut Jurry, selain pemindahan ilmu kepada komuniti, projek itu juga menjadi pendedahan dan latihan kepada pelajar di bawah seliaannya untuk mengaplikasikan ilmu pengetahuan yang dipelajari di universiti kepada masyarakat setempat.

”Kesemua 15 kod QR itu serta maklumat tumbuhan yang dihasilkan oleh para peserta telah dimuatnaik di laman Facebook Walai Tobilung. Semoga kemahiran dan pengetahuan asas yang diperolehi melalui program ini dapat digunakan komuniti untuk merekod spesies tumbuhan lain yang ada di pusat kebudayaan ini,” katanya.

Program itu diadakan selama dua hari dengan dibantu dua pelajar UMS sebagai fasilitator iaitu Dayang Fairuzzimah dan Camelia Martin.

Jurry berkata, beliau sedang dalam usaha mendapatkan dana untuk merealisasikan lebih banyak siri QR Code Project.

Sementara itu, Pengasas Pusat Kebudayaan Walai Tobilung, Janes Kansirong berkata, kejayaan penganjuran projek QR Code UMS 2.0 yang disertai warga pusat kebudayaan berkenaan mampu memberikan nilai tambah kepada Walai Tobilung yang
kebetulan sedang dalam penilaian untuk membantu negeri ini mendapat pengiktirafan Geopark Kinabalu oleh UNESCO.

”Sebenarnya QR Code Project UMS 1.0 yang dijalankan Dr. Jurry dan kumpulan pelajarnya di Taman Budaya dan Inovasi Kundasang (TABIK) menarik perhatian saya untuk melabelkan spesies tumbuhan di sini menggunakan teknik yang sama.

”Saya yakin bahawa pendigitalan maklumat sangat relevan dalam industri pelancongan budaya norma baharu,” katanya.- MalaysiaGazette