Suspek disyaki memperdaya dan menipu wanita dengan melarikan wang tunai RM560,000 dalam urusan jual beli emas secara bersemuka di Jalan Conley ibu negara semalam dicekkup polis. Ihsan foto: IPD Dang Wangi

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki ditahan beberapa jam selepas menipu seorang wanita dalam urusan pembelian emas 916 di Jalan Conlay di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata,  dalam kejadian itu, mangsa wanita yang merupakan peniaga kedai emas mendakwa dia telah menyerahkan wang tunai berjumlah RM560,000 semasa berurusan membeli emas 916 sekitar jam 4.10 petang sebelum suspek berjaya melarikan diri.

“Bertindak atas maklumat, sekitar jam 3.10 pagi  tadi sepasukan polis dari Bahagian Risikan/Operasi Siasatan Jenayah Komersial Daerah Dang Wangi telah membuat satu serbuan di sebuah hotel yang terletak di Jalan Stesen Sentral, ibu negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Polis berjaya menahan seorang suspek dan menemui serta merampas sebuah kereta, wang tunai RM250,750, tiga unit telefon bimbit, sepasang kasut, sehelai baju, satu cop syarikat , sebuah bag, buku cek, lima kad ATM, pasport dan sekeping kad akses rumah.

Suspek yang berusia berusia 30 tahun itu direman selama empat hari bermula 21 hingga 24 Mei ini bagi siasatan lanjut.

Kes sedang disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette