KUALA SELANGOR – Susulan kenaikan harga barang keperluan sehingga 60 peratus bermula Jun ini, pelaksanaan Coop Mart di seluruh negara dijangka mampu menawarkan harga murah dan mengurangkan kesan inflasi itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Coop Mart yang diperkenalkan 15 April lalu tanpa melalui orang tengah mampu menangani masalah tersebut, sekali gus meringankan kos sara hidup rakyat.
“Kita akan menggunakan CoopMart untuk kita membantu mengurangkan harga barang dan menjual barang murah dari kawasan lain.
“Ia bagi memastikan tak berlakunya orang tengah, maka kita telah minta Angkasa kena memainkan peranan untuk menubuhkan Pusat Pengedaran (DNC).
“Kalau kita dapat ambil barang daripada petani sebagai contoh tanpa melalui orang tengah, dan kita terus salur kepada Coop Mart, Insya-Allah dapat kurangkan harga,” katanya kepada pemberita di Sekolah Kebangsaan Puncak Alam 2, di sini, hari ini.
Beliau mengulas kenaikan harga barang keperluan utama termasuk daging, ayam dan sayur yang melambung tinggi sejak Ramadan lalu.
Kenaikan harga itu juga telah memaksa Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memansuhkan keperluan permit import (AP) terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta, 18 Mei lalu. – MalaysiaGazette.