Aero Physio Shah Alam dirasmikan secara bersama oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah dan Pakar Bedah Kardiotorasik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Nur Ayub Mohd Ali.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Aero HealthCare Sdn. Bhd. menerusi Aero Physiotherapy (Aero Physio) membuka cawangan terbaharu di Shah Alam dengan menyediakan perkhidmatan kesihatan khusus dalam bidang pemulihan dan perubatan fizikal (fisioterapi).

Syarikat milik penuh bumiputera yang ditubuhkan pada 29 Mac 2021 ketika negara masih dilanda pandemik Covid-19 menyediakan perkhidmatan pemulihan secara terus kepada masyarakat melalui home based services.

Ketua Pegawai Eksekutif Aero Physio Shah Alam, Azffanizam Abd Halim berkata, perkhidmatan disediakan bagi memastikan proses pemulihan secara berterusan terhadap kesihatan pesakit walaupun menghadapi cabaran dan kesukaran semasa fasa pandemik tempoh lalu.

“Pada masa ini, Aero Healthcare telah menyumbang dalam penyediaan perkhidmatan sokongan menerusi sistem perkhidmatan kesihatan utama negara seperti hospital, pusat perubatan dan kemudahan perubatan melalui perkhidmatan berasaskan rumah,” katanya.

Sebelum itu, Aero Physio Shah Alam dirasmikan secara bersama oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah dan Pakar Bedah Kardiotorasik, Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia, Datuk Dr Nur Ayub Mohd Ali.

Hadir sama di majlis berkenaan ialah Ketua Pegawai Operasi Aero Physio Shah Alam, Asnawi Mohd Tan serta Ahli Lembaga Pengarah iaitu Prof. Madya Dr Azillah Mohd Ali, Norsalwani Mohd Noor, Hassanul Basri Hanafi dan Bannister Anak Langgum.

Pada majlis itu, Acryl Sani yang mengucapkan tahniah turut berharap pembukaan Aero Physio di Shah Alam ini memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan golongan sasar seperti ahli sukan dan warga veteran.

“Menerusi pusat ini, saya difahamkan juga menyediakan rawatan terapi manual, senaman terapi dan dilengkapi dengan mesin elektroterapi di samping kepakaran tenaga kerja di pusat,” katanya.

Antara rangkaian penyedia perkhidmatan kesihatan yang dikendalikan oleh syarikat ialah Perkhidmatan Kejururawatan, Perkhidmatan Ambulans & Kecemasan dan Perkhidmatan Dietetik/Pemakanan.

Aero Healthcare pada dasarnya mempunyai tiga cawangan iaitu Aero Physio Centre, Aero Home-Based Team dan Aero Training & Consultation Centre.

Perkhidmatan pusat fisioterapi turut menyediakan rawatan bagi kes-kes yang melibatkan kecederaan sukan, Neurologi, Geriatrik, Kardiovaskular, Pediatrik, Program Kembali Bekerja (RTW), Kembali Ke Sukan (RTS) dan Pemulihan Selepas Covid.

Pasukan Fisioterapi Bergerak menyediakan perkhidmatan fisioterapi terus ke kediaman atau lokasi pesakit di sekitar Lembah Kelang.

Menurut Azffanizam, Aero Physio juga menyediakan latihan pengurusan penjagaan kesihatan dan pemulihan secara teori dan praktikal kepada ahli fisioterapi dan penyedia perkhidmatan kesihatan yang lain.

“Matlamat latihan ini adalah untuk menyampaikan pengetahuan khusus kepada orang ramai dan penjaga pesakit dalam proses menjaga ahli keluarga mereka yang memerlukan,” katanya.

Sebelum ini, Aero HealthCare telah menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dengan menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) pada 2021.

Jaringan sefahaman itu sebagai penghubung antara pemain industri dan Institusi Pengajian Tinggi dalam menjalankan perkongsian kepakaran serta kerjasama erat dalam penyelidikan saintifik.

Syarikat juga telah menandatangani Surat Perjanjian (LOA) dengan Royal Medical College Perak (RMC) pada tahun ini dan kumpulan pertama pelajar Fisioterapi daripada pelajar pascasiswazah RMC Ipoh, Perak yang kini sedang menjalani clinical posting di Aero Physio Centre, Puncak Alam, Selangor.

Aero Physio Shah Alam telah diasaskan pada Mac 2022 oleh tiga ahli terapi berasaskan mempunyai minat khusus dalam bidang sukan dan peningkatan prestasi.

Slogan syarikat ialah We Treat Dysfunction with Movement yang memberi tumpuan kepada latihan khusus untuk tujuan penyembuhan, pemulihan dan kecergasan.- MalaysiaGazette