Lokasi 11 individu termasuk lima pelajar sekolah pelajar sekolah berusia 14 tahun hingga 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di hadapan sebuah sekolah di Jalan Telok Mas berhampiran SMK Pernu.

MELAKA – Polis memeriksa 11 individu termasuk lima pelajar sekolah berusia 14 tahun hingga 17 tahun yang dipercayai terlibat dalam aktiviti lumba haram di hadapan sebuah sekolah di sini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan [email protected] Zaki Omar berkata, kesemua individu yang diperiksa itu berusia 14 hingga 21 tahun di Jalan Telok Mas berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pernu.

Menurut beliau, serbuan dilakukan hasil maklumat awam dan risikan anggota Unit Polis Peronda Lebuhraya (HMPV) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah mengenai kegiatan itu Jumaat lalu.

“Bertindak hasil maklumat awam, seorang pegawai bersama lapan anggota dibantu empat sukarelawan melakukan serbuan pada jam 6.30 petang sebelum mendapati beberapa penunggang motosikal berkumpul di bahu jalan dipercayai penonton lumba haram.

“Susulan itu, polis mengeluarkan sebanyak 68 keping saman POL.257 atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 selain turut menyita 11 buah motosikal untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Antara kesalahan kesalahan dilakukan adalah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu, ubahsuai ekzos dan tiada cermin sisi

Tambahnya, Polis Melaka sentiasa memantau lokasi yang sering dijadikan ‘port’ lumba haram di negeri ini dan mengalu-alukan maklumat awam untuk segera melaporkan aktiviti yang menyalahi undang-undang. – MalaysiaGazette