Ismail Sabri (tengah) melihat buku DKPN 2021-2030 ketika majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2022 di Kepala Batas, Pulau Pinang hari ini.

KEPALA BATAS – Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob melancarkan Dasar Kebombaan dan Penyelamatan Negara (DKPN) 2021-2030 bagi mempertingkatkan kecekapan dan profesionalanisme Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kata beliau, DKPN 2021-2030 yang digubal Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) diyakini dapat melahirkan Keluarga Malaysia yang berdaya tahan (resililient community) serta mampu mengadaptasi konsep penyelamat nyawa rakyat dalam kehidupan seharian terutama ketika berdepan sebarang situasi kecemasan termasuk bencana.

“Dasar ini melibatkan komitmen pelbagai pihak dalam menjalin hubungan kerjasama strategik dengan industri keselamatan, kebakaran dan kebombaan.

“Ini amat penting kerana ia mampu membuka dimensi baharu kepada pertumbuhan dan daya saing ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada perasmian Majlis Sambutan Hari Bomba Sedunia 2020, di sini, hari ini.

Ismail Sabri menurunkan tandatangan pada olah ketika melancarkan DKNP 2021-2030 di Kepala Batas.

Tambah beliau, pihaknya yakin melalui DKPN 2021-2030, warga KPKT khususnya JBPM akan menzahirkan komitmen padu untuk merealisasikan hasrat dan aspirasi penyampaian perkhidmatan kebombaan yang dinamik dan progresif.

Terdahulu beliau turut menyaksikan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menyerahkan buku DKPN 2021-2030 kepada Ketua Pengarah JBPM, Mohammad Hamdan wahid.

Kira-kira 1,795 pegawai san anggota bomba terdiri daripada 32 kontinjen dan agensi jemputan termasuk pasukan barisan hadapan Keluarga Malaysia terlibat dengan acara perbarisan dan perarakan. – MalaysiaGazette