Rahmat Md Noh

JOHOR BAHRU – Semua agensi di negara ini perlu memainkan peranan mendukung Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) untuk menerap elemen budaya dalam semua program pembangunan Malaysia.

Dasar tersebut perlu dijadikan panduan bagi pelaksanaan pelbagai agenda dan rancangan pembangunan budaya dalam setiap lapisan masyarakat.

Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Johor, Rahmat Md Noh berkata, dasar tersebut merupakan usaha memelihara dan memulihara warisan budaya negara bagi menjamin nilai estetika khazanah.

Usaha merangkumi penyelidikan, pendokumentasian, pewartaan, dan promosi bagi memastikan keaslian dan kelangsungan budaya, ujarnya.

“Langkah ini perlu dititip dan diwariskan kepada semua generasi agar kita mampu mengangkat aset warisan seni budaya, yang bersesuaian, untuk diiktiraf di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Justeru saya juga berharap agar ia menjadi sebahagian dari inspirasi untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah  “Negara Maju Rakyat Berbudaya”.

“Untuk itu MOTAC perlu bertemu dengan semua pemegang sektor kebudayaan di seluruh negara melalui sesi libat urus seperti hati ini,” katanya ketika berucap pada program Jerayawara Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) Johor, di Bandar Seri Alam, dekat sini, hari ini.

Katanya, penghayatan dasar tersebut akan memberi impak positif, bagi memastikan kelestarian seni, budaya, dan warisan, terus terpelihara. – MalaysiaGazette