Dominic Lau Hoe Chai.

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu campur tangan berhubung kenaikan harga bayaran perkhidmatan e-hailing supaya tidak membebankan rakyat.

Presiden Parti Gerakan (Gerakan), Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai terkejut dengan laporan berita kenaikan tambang perkhidmatan itu sebanyak 300 peratus pada waktu puncak.

Beliau berkata, harga semasa perkhidmatan e-hailing itu kurang telus dan harga tambangnya turut dikawal sepenuhnya oleh penyedia perkhidmatan.

“Ini bukan sahaja membahayakan hak pengguna, tetapi juga mendedahkan pemandu e-hailing kepada kemungkinan dieksploitasi,” ujarnya.

Menurut Dpminic, Persekutuan Pengguna Malaysia (FOMCA) turut berpandangan  kerajaan harus menggubal garis panduan untuk mengawal selia caj bagi perkhidmatan e-hailing, termasuk jumlah komisen yang dikenaikan oleh syarikat e-hailing kepada pemandu untuk mengelakkan manipulasi pasaran oleh penyedia perkhidmatan e-hailing.

Selain merangka garis panduan tambang e-hailing, kerajaan juga perlu merangka beberapa dasar untuk menggalakkan lebih ramai orang menyertai industri e-hailing serta memastikan keseimbangan antara penawaran dan permintaan dalam industri tersebut.

“Harga Grab akan meningkat pada masa tertentu kerana permintaan tinggi dan kurang pemandu. Jika tidak mempunyai pemandu yang mencukupi untuk memenuhi bilangan pelanggan yang semakin meningkat, ia juga berkemungkinan akan menaikkan harga secara kekal. Kita tidak mahu keadaan ini berlakunnya..

“Kita juga menggalakkan agar orang ramai menjadi pengguna yang bijak dengan memuat turun aplikasi e-hailing yang lain agar mendapatkan perkhidmatan terbaik pada harga paling berpatutan,” tambahnya. – MalaysiaGazette